Pakatan pilih ketua bahagian Bersatu Tanjung Piai tanding PRK
Iklan
PAKATAN Harapan mengumumkan ketua bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen kawasan itu dalam PRK bulan depan.
Ketua Bersatu Johor Muhyiddin Yasssin mengumumkan nama Karmaine, 66, untuk bertanding dalam PRK yang akan bermula 2 November.
Muhyiddin berkata pemilihan Karmaine menepati kriteria yang digariskan PH.
“Memang ramai nama yang diberikan tetapi pihak pimpinan berpendapat Karmaine calon yang sesuai berdasarkan beberapa ciri iaitu dia anak tempatan, dilahirkan di sini dan berkelayakan.
“Ini kriteria yang difikirkan oleh pimpinan sesuai untuk meneruskan kesinambungan perjuangan Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik di Tanjung Piai,” katanya di Pontian.
Karmaine memulakan kerjaya politik sebagai ahli jawatankuasa Umno Pontian sejak 2001 dan menjadi bendahari penaja bahagian Umno Tanjung Piai sejak 2003.
Beliau juga mengetuai Umno cawangan Kampung Haji Shaari di Pontian antara selama lapan tahun dan menjadi ahli majlis Majlis Daerah Pontian pada 2010.
Karmaine yang kini ketua bahagian Bersatu Tanjung Piai merupakan seorang imam Masjid Al-Muttaqin di Taman Sutera, Johor Bahru dan juga penasihat sebuah pusat tahfiz di taman berkenaan.
Lulusan Diploma Seni Bina Universiti Teknologi Mara itu pernah bertugas sebagai pembantu teknik dan arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebelum tamat perkhidmatan pada 1990.
Dalam tugasnya, beliau antara lain terlibat dengan pembangunan Bandar Tun Razak, Cheras dan juga kajian untuk pelaksanaan sistem monorel dan LRT di Kuala Lumpur.
Ketika menceburi perniagaan dalam sebuah syarikat arkitek, beliau terlibat dalam menyediakan reka bentuk untuk beberapa projek sivil di sekitar Johor.
Ia termasuk Kompleks Kolam Renang Majlis Bandaraya Johor Bahru, bangunan Johor Tourism Center, projek Desaru Impian dan bangunan institusi pendidikan.
Karmaine yang kini Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran Johor juga pernah bertugas sebagai guru sementara di kampung halamannya di Telok Kerang, Pontian dan juga di Kota Tinggi. – 28 Oktober, 2019.