Dilema PKR, Azmin atau Wan Azizah rasmi kongres nasional sayap?
Iklan
PKR sedang menimbang untuk mengetepikan tradisi iaitu timbalan presiden merasmikan persidangan tahunan sayap Pemuda dan Wanita pada kongres nasional parti Disember ini, kata beberapa sumber.
The Malaysian Insight difahamkan sayap Pemuda PKR mahu menjemput bekas presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga timbalan perdana menteri, merasmikan perhimpunannya.
Permintaan itu meletakkan parti dalam dilema kerana pada masa sama, sayap Wanita mahu persidangannya dibuka oleh Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, kata seorang sumber.
Sumber Pemuda PKR memberitahu, mereka mahu mengubah tradisi itu untuk “menghantar mesej kepada Azmin” yang didakwa kerap membuat kenyataan membelakangkan parti.
“Ini mesej kerana timbalan presiden (Azmin) sebelum ini suka membuat kenyataan berbeza dengan pimpinan.
“Buat apa kita hendak iktiraf pemimpin seperti ini?” kata pemimpin itu kepada The Malaysian Insight, dengan syarat tidak dinamakan.
Azmin dilihat mengeruhkan hubungan dengan pimpinan parti apabila tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR mahupun mesyuarat mingguan biro politik parti.
Beliau juga secara terbuka mencadangkan agar Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga habis mandat penggal pentadbiran, yang dilihat bertentangan dengan pelan peralihan kuasa untuk Presiden PKR Anwar Ibrahim mengambil alih dalam masa dua tahun.
Anwar dalam satu wawancara bulan lepas membayangkan beliau akan mengambil alih sebagai perdana menteri kelapan pada sekitar Mei tahun depan.
Sementara itu, seorang sumber berkata tradisi timbalan presiden merasmikan perhimpunan sayap adalah amalan Umno, yang sebenarnya tidak perlu diikut oleh parti.
“Ucapan timbalan presiden ini ikut amalan Umno, tak termaktub pun dalam perlembagaan parti yang mewajibkan timbalan berucap.
“Maka terpulang kepada sayap untuk menjemput siapa,” katanya.
Umno juga pada perhimpunan agung parti pada 2015 mengetepikan tradisi timbalan presiden merasmikan persidangan tahunan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.
Lebih kurang empat bulan sebelum itu, timbalan presiden Umno ketika itu Muhyiddin Yassin, yang juga timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan, dipecat daripada Kabinet Najib Razak.
Pada tahun itu, perhimpunan tiga sayap Umno itu dirasmikan oleh ketua masing-masing.
Dalam pada itu, seorang pemimpin Wanita PKR memberitahu, sayap itu belum membuat keputusan namun mereka sepakat mahu Azmin merasmikan kongres sayap.
“Kita memang mahu timbalan presiden rasmi. Apa pun semua masih dalam perbincangan dan pihak ibu pejabat belum putuskan. Wanita memang sepakat mahukan Azmin Ali rasmikan kongres seperti sebelumnya,” katanya.
Sumber di ibu pejabat PKR pula memberitahu The Malaysian Insight ada cadangan untuk mengadakan tidak mengadakan perasmian kongres sayap Pemuda dan Wanita secara serentak.
Cadangan itu masih dalam perbincangan pihak jawatankuasa pengurusan kongres, katanya.
“Semalam (Selasa) ada mesyuarat peringkat Biro Pengurusan Kongres. Ada cadangan nak asingkan perasmian. Jadi masing-masing boleh dapatkan jemputan masing-masing.
“Tetapi kita tak boleh tambah hari sebab semua melibatkan kos. Jadi mungkin perasmian satu sayap buat pagi, satu lagi petang,” kata sumber.
Sementara itu, seorang lagi sumber Pemuda PKR memberitahu The Malaysian Insight sayap pemuda mahu menjemput Wan Azizah kerana mahu mengiktiraf jasa bekas presiden.
“Tahun depan jika Anwar naik jadi perdana menteri maka Kak Wan akan bersara,” katanya, merujuk nama panggilan Wan Azizah dalam kalangan ahli parti.
“Maka perasmian ini satu penghormatan baginya,” kata sumber. – 1 November, 2019.