Iklan

LANGSUNG: Perbicaraan kes 1MDB tangguh, Najib sakit mata

Bede Hong5 years ago31st Oct 2019Berita
Ex ceo 1mdb shahrol azral ibrahim halmi afif 311019
Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan disoal siasat lagi oleh peguam bela utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 31 Oktober, 2019.
Iklan

BEKAS CEO 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Shahrol Azral Ibrahim Halmi sambung beri keterangan pada hari ke-29 pada perbicaraan kes 1MDB melibatkan Najib Razak.

Saksi kesembilan pendakwaan itu akan disoal siasat peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Semalam Shahrol memberitahu mahkamah, seminggu selepas perjanjian usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International ditandatangani pada 25 September 2009, sebanyak AS$85 juta (RM255 juta) dimasukkan ke akaun CEO PetroSaudi Tarek Obaid.

Penyiasat kemudiannya mendedahkan bahawa Tarek berkongsi AS$33 juta dengan pengarah PetroSaudi Patrick Mahoney.

Semasa sesi soal balas semalam, Shafee bertanya kepada Shahrol “Krismas datang awal tahun itu ya?”, dan Shahrol mengangguk tanda setuju.

Lima hari selepas perjanjian bernilai AS$1 bilion antara 1MDB dan PetroSaudi ditandatangani, sebanyak AS$300 juta dibayar kepada PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd, manakala AS$700 juta kepada Good Star Ltd tanpa persetujuan lembaga pengarah 1MDB.

Penyiasat kemudian mendedahkan dua syarikat itu palsu, dan Good Star dikawal oleh ahli perniagaan dalma buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah sebagai bukti menunjukkan bahawa Good Star membayar AS$85 juta kepada Tarek pada 5 Oktober 2009, lima hari selepas syarikat itu menerima AS$700 juta dari 1MDB.

Dokumen juga menunjukkan bahawa pada 20 Oktober 2009, AS$33 juta dipindahkan dari akaun Tarek ke akaun Mahoney.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan menerima suapan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram bagi jumlah yang sama.

Pendakwaan menuduh bekas perdana menteri itu bersubahat dengan Jho Low untuk menipu dana pelaburan kekayaan negara itu.

Najib diwakili sekumpulan peguam diketuai Shafee.

Peguam bela utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tingi Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 31 Oktober, 2019.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dan kes didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini:

2.55pm: Sri Ram kemudian mencadangkan agar perbicaraan bermula pada jam 9.30 pagi dan berakhir pada 6 jam petang pada minggu berikutnya.

Shafee berkata pasukan pembelaan juga ingin memohon supaya pendakwaan mengemukakan kepada mahkamah semua minit mesyuarat 1MDB dari 2009 hingga 2015. Sri Ram tidak membantah.

Minit mesyuarat itu bermula dari penerbitan bon ‘Nota Jangka Sederhana Islam’ (IMTN) bagi Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) sehingga siasatan 1MDB bermula.

Perbicaraan ditangguhkan dan bersambung Isnin, jam 9.30 pagi.

2.53pm: Shafee menyerahkan gambar mikroskopik kepada mahkamah, yang ditunjukkan di hadapan Sequerah dan Sri Ram di kamar hakim tadi.

Peguam bela Najib itu berkata gambar ditunjukkan di kamar hakim untuk mengelakkan ia tersebar di internet.

“Rakan saya (Sri Ram) juga dengan ini cadangkan kepada Yang Arif bolehkah perbicaraan pada Selasa, Rabu dan Khamis berakhir pada jam 6 petang,” kata Shafee.

Sri Ram tidak membantah dan berkata: “Kami hargai persetujuan Yang Arif.”

2.50pm: Mahkamah mula bersidang. Shafee mengucapkan terima kasih kepada mahkamah kerana membenarkan beliau mengendalikan satu lagi kes di Mahkamah Persekutuan pagi tadi.

Peguam itu berkata beliau juga dimaklumkan bahawa anak guamnya, Najib terpaksa ke International Specialist Eye Centre (ISEC).

Shafee berkata Najib mempunyai masalah pada kedua-dua belah matanya dan menurut doktor ia mungkin bukan hanya konjuntivitis.

Najib akan menjalani ujian darah esok, tambah Shafee.

2.45pm: Sri Ram memberitahu pasukan peguamnya perbicaraan ditangguhkan ke Isnin, jam 9.30 pagi.

Najib masih tidak kelihatan di mahkamah.

2.40pm: Shafee dan Sri Ram masuk ke kamar Hakim Sequerah.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Ronnie Liu masuk dan duduk di galeri awam, betu-betul di belakang kandang saksi.

2.30pm: Shafee, Sri Ram dan peguam lain berada dalam mahkamah. Najib tidak kelihatan. 

Iklan
Iklan