SPRM pertimbang penyelesaian kes lucut hak RM11.9 juta Bustari
Iklan
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 November ini sama ada akan menerima representasi bagi menyelesaikan kes pelucutan hak wang ahli perniagaan Sarawak Bustari Yusof berkaitan skandal penyelewengan dana 1MDB.
Pada 21 Jun lalu, SPRM mengemukakan saman lucut hak untuk menuntut RM11.9 juta milik Bustari, yang merupakan rakan rapat bekas perdana menteri Najib Razak.
“Kami sudah terima surat representasi,” kata Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abd Jumaat selepas pendengaran di kamar Hakim Collin Lawrence Sequerah.
“Sedang dipertimbangkan. Peguam Negara (Tommy Thomas) sekarang masih berada di luar negara.”
Bustari, abang kepada bekas menteri kerja raya Fadillah Yusof, tidak hadir di mahkamah hari ini. Beliau diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin.
Bustari dilaporkan meninggalkan Malaysia selepas pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu, selepas Pakatan Harapan berjaya mengambil alih persekutuan.
Pendengaran hari ini adalah sebahagian daripada saman lucut hak oleh SPRM terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula dana RM270 juta daripada dana 1MDB. – 1 November, 2019.