Sah dua pembantu Shafie ditahan SPRM
Iklan
DUA pegawai khas Shafie Apdal ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Khamis lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan untuk Sabah, kata sumber agensi anti rasuah itu.
Sumber SPRM mengesahkan Izhar Idrus dan Zamri Maulan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tengah hari Khamis lalu, selepas mereka menghantar Shafie untuk berlepas ke Kota Kinabalu.
Sumber itu berkata kedua-dua mereka kini ditahan reman selama lima hari sehingga Selasa.
Zamri, yang sebelum ini bertugas sebagai setiausaha akhbar kepada Shafie di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), kali terakhir berhubung dengan wartawan kira-kira pukul 11 pagi Khamis lepas.
Komunikasi terakhirnya dengan beberapa wartawan adalah untuk memaklumkan yang Shafie sudah memasuki terminal KLIA untuk berlepas ke Kota Kinabalu.
Shafie pada petang itu hadir di Ibu Pejabat SPRM di Kota Kinabalu sebelum ditangkap lebih kurang pukul 9 malam, selepas memberikan keterangannya.
Sementara itu, satu lagi sumber yang dekat dengan kerajaan negeri Sabah memaklumkan sebuah unit khas SPRM dari Putrajaya tiba di Sabah minggu lalu untuk mengendalikan siasatan di ibu pejabat agensi anti rasuah itu di Kota Kinabalu.
Penangkapan Zamri dan Izhar menjadikan 13 orang ditahan setakat ini oleh SPRM.
SPRM sedang menyiasat dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion, dipercayai daripada RM7.5 bilion yang diperuntukkan kerajaan persekutuan kepada Sabah menerusi KKLW antara 2009 hingga 2015, ketika Shafie jad menterinya.
Dua adik Shafie, Yusof dan Hamid turut ditahan minggu lalu.
Yusof, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lahad Datu dan Ketua Umno Bahagian Silam, hari ini disambung reman dua hari lagi selepas ditahan empat hari sejak 18 Oktober lalu.
Hamid bagaimanapun dibebaskan daripada tahanan reman pada Khamis lalu, bersama menantunya, Manzur Hussein Awal Khan.
Selain tiga beradik ini, SPRM turut menahan tiga pemimpin Warisan iaitu Naib Presiden, Peter Anthony; Ketua Pemuda, Azis Jamman dan Bendahari Warisan Bahagian Putatan, Amarjit Singh.
SPRM juga menahan Ketua Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar; Ketua Pemuda Umno Tawau, Ariffin Kassim, seorang ahli perniagaan dan seorang bekas pegawai kanan KKLW bagi membantu siasatan. – 22 Oktober, 2017.