Peguam Shafie cabar perintah reman Isnin ini
Iklan
PEGUAM Shafie Apdal akan mencabar perintah reman yang diperolehi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap presiden Warisan itu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Isnin ini kerana ia bertentangan dengan Akta SPRM 2009, kata peguam.
Peguam Hamid Ismail memberitahu The Malaysian Insight pihaknya mendapat arahan untuk mencabar perintah reman tersebut dan sudah menyerahkan surat kepada pendaftar mahkamah supaya seorang hakim mahkamah tinggi boleh membuat semakan.
“Kita belum dimaklumkan siapa hakim berkenaan dan bila permohonan itu akan didengar,” katanya.
Jelas beliau, surat berkenaan diserahkan kepada mahkamah pagi semalam.
Dalam surat berkenaan, yang kandungannya dilihat oleh The Malaysian Insight, pasukan peguam Shafie memberi tiga alasan kenapa penahanan bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu cacat dari segi undang-undang.
Pertama, permohonan reman itu dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, dan ia bertentangan dengan Akta SPRM yang mempunyai peruntukan yang sama.
“SPRM hanya boleh memohon reman di bawah Seksyen 49(4) Akta SPRM 2009 dan permohonan tersebut hanya terhad kepada orang yang telah ditangkap di bawah Seksyen 49(3) akta yang sama.
“Kami telah membawa isu ini sebagai bantahan awal (pada pendengaran permohonan reman pada Jumaat) tetapi majistret menolak bantahan itu,” katanya.
Hamid juga memberitahu Seksyen 30 Akta SPRM juga memberi kuasa kepada agensi anti rasuah itu untuk memanggil sesiapa saja bagi memberi keterangan tanpa perlu ditahan reman.
“Oleh demikian, alasan-alasan yang dikemukakan oleh SPRM dalam permohonan remannya iaitu untuk menyoal, menyoal balas dan mendapatkan kenyataan daripada klien kami bagi tujuan siasatan adalah melanggar seksyen 30 Akta SPRM 2009,” tambahnya.
SPRM dijangka akan membawa Shafie ke mahkamah pada Isnin ini bagi mendapatkan lanjutan perintah reman.
Pegawai pendakwaan SPRM, Faliq Basiruddin, yang ditemui The Malaysian Insight, turut menolak dakwaan yang tersebar melalui media sosial kononnya Shafie akan dituduh di mahkamah pada hari itu.
“Kita masih dalam proses siasatan,” katanya.
Shafie petang semalam dipindahkan dari Hospital Queen Elizabeth II ke lokap SPRM di ibu pejabat agensi itu di Jalan Sulaman, Kota Kinabalu selepas menjalani rawatan kerana tekanan darah tinggi selepas ditahan oleh SPRM pada Khamis malam.
Majistret Cindy Mc Juce Balitus pada Jumaat memerintahkan Shafie ditahan reman empat hari sehingga Isnin. Beliau bagaimanapun dibenarkan untuk ditahan di hospital tersebut untuk rawatan.
Selain maklumat kononnya Shafie akan dituduh di mahkamah pada Isnin, satu maklumat lain tersebar melalui media sosial meminta para penyokong Warisan berhimpun di mahkamah bagi memberikan sokongan moral kepada ketua mereka itu.
Lebih 200 penyokong Shafie berkumpul dan melaungkan slogan “Sabah Ubah” di luar pagar mahkamah ketika bekas menteri itu dibawa untuk perintah reman, pada petang Jumaat.
Shafie ditahan bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan bagi tujuan pembangunan projek rakyat di Sabah.
Shafie adalah individu yang ke-11 ditahan oleh SPRM berhubung siasatan yang melibatkan lebih kurang 350 buah projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) merangkumi bekalan air dan elektrik serta jalan raya di sembilan daerah di Sabah, antara 2009 hingga 2015.
Sepanjang tempoh itu, Shafie adalah menteri yang bertanggungjawab.
Antara yang ditahan termasuk dua adiknya, Yusof dan Hamid. Yusof, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lahad Datu dan ketua Umno Bahagian Silam, hari ini disambung reman dua hari lagi selepas ditahan empat hari sejak 18 Oktober lalu.
Hamid bagaimanapun dibebaskan daripada tahanan reman pada Khamis lalu, bersama menantunya, Manzur Hussein Awal Khan.
Selain tiga beradik ini, SPRM turut menahan tiga pemimpin Warisan iaitu Naib Presiden, Peter Anthony; Ketua Pemuda, Azis Jamman dan Bendahari Warisan Bahagian Putatan, Amarjit Singh.
SPRM juga menahan Ketua Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar; Ketua Pemuda Umno Tawau, Ariffin Kassim, seorang ahli perniagaan dan seorang bekas pegawai kanan KKLW bagi membantu siasatan.
Semua mereka sudah dibebaskan daripada tahanan reman kecuali Amarjit yang ditahan reman enam hari sejak kelmarin. – 22 Oktober, 2017.