Mustafa Ali minta PAS berunding dengan Umno
Iklan
VETERAN PAS, Mustafa Ali hari ini meminta parti itu menyambut cadangan rundingan yang dibuat oleh Umno demi kepentingan negara ini.
Dalam satu sidang media khas di Kuala Terengganu hari ini, bekas pengarah pilihan raya PAS itu berkata, PAS wajar berunding dengan Umno.
“PAS wajar menyambut tangan yang dihulurkan Umno,” katanya merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Umno Annuar Musa sebelum ini.
Bagi beliau, PAS tidak semestinya masuk Barisan Nasional (BN) selepas berunding tetapi perlu berunding secara rasmi untuk bekerjasama dengan Umno.
Menurut Mustafa yang selama ini berusaha agar PAS bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), cadangan ini diberikan selepas presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyifatkan PAS dan PH tidak ada ‘chemistry’ lagi.
Bagi beliau, pendekatan PAS yang mahu menjadi ‘king maker’ sebelum ini tidak sesuai kerana sistem pilihan raya di negara ini tidak akan membolehkan PAS berjaya.
“King maker hanya boleh berperanan apabila negara dalam keadaan ‘hung parliament’ (parlimen tergantung) tetapi kita sekarang mahu menyertai pilihan raya yang ada kerajaan dan pembangkang,” katanya.
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), veteran pilihan raya PAS yang tidak lagi disambung perkhidmatannya itu yakin parti itu boleh menambahkan undi popular dalam pilihan raya ini.
“Tetapi ia tidak semestinya penambahan kerusi untuk PAS,” katanya.
Oleh itu, katanya, melalui kerjasama dengan Umno, PAS boleh menambahkan kerusi dalam pilihan raya nanti.
“Atas dasar itu, saya mahu lihat PAS bekerjasama dengan Umno kerana kedua-dua parti ini mewakili undi Melayu yang menjadi pengundi tunggak dalam negara ini,” katanya yang bercakap atas pendapat peribadi beliau bukan atas nama PAS.
Mustafa yang memimpin PAS sejak 1974 selepas menang kerusi parlimen Kuala Terengganu dalam pilihan raya umum tahun itu tidak memegang sebarang jawatan selepas Muktamar PAS di Alor Setar beberapa bulan lalu.
Namun, selepas itu beliau dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat PAS ketika Tuan Ibrahim Tuan Man memangku jawatan presiden ketika Abdul Hadi bercuti rehat selepas menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).
Sebelum ini, Annuar Musa berkata, PAS dan Umno mempunyai DNA yang sama.
“Oleh kerana daripada DNA yang sama, maka saya berkeyakinan ada titik pertemuan. Maka, bagi kita marilah kita meraikan titik persamaan ini.
“Ini tidak bermakna PAS masuk Umno, Umno masuk PAS, tidak bermakna PAS semestinya menyertai BN (Barisan Nasional)… tetapi titik kebersamaan ini, matlamat perjuangan itu menjadi lebih penting,” kata ahli parlimen Ketereh itu.
Menurut Mustafa, beliau akan memberikan kenyataan kedua selepas ini apabila kedua-dua pihak iaitu PAS dan Umno memberikan pendirian masing-masing berkaitan kenyataan beliau ini.
Ketika ditanya wartawan bahawa Umno yang kelihatan beria-ia mahukan kerjasama ini manakala PAS pula tidak berminat, beliau bersetuju dengannya.
“Sebab itu bagi saya PAS perlu jelaskan perkara ini,” katanya.
Bagi beliau, jika kedua-dua pihak bersetuju untuk berunding, orang tengah tidak diperlukan.
“Orang tengah, tidak perlu. Umno dan PAS kena runding terus saja dengan lantik wakil masing-masing,” katanya. – 22 Oktober, 2017.