Kesatuan harus lindungi pekerja asing juga, kata pakar ekonomi
Iklan
PEMIMPIN kesatuan pekerja bertanggungjawab untuk untuk bercakap mewakili semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan, kata pakar ekonomi terkenal Jomo Kwame Sundaram.
Jomo mengatakan sikap sedemikian secara tidak langsung akan turut melindungi kepentingan pekerja Malaysia.
Berucap pada ulang tahun Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia ke-70 di Kuala Lumpur malam ini, Jomo mengulas mengenai keadaan hidup sengsara yang dihadapi jutaan pekerja asing dan menyeru para pemimpin kesatuan untuk bercakap mewakili mereka.
“Apabila kita membiarkan beberapa pekerja diperlakukan dengan buruk, semua pekerja menerima kesannya,” kata bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan itu.
“Penting sekali untuk bukan hanya berfikir secara sempit mengenai kesatuan anda atau kewarganegaraan anda, tetapi mesti kita mesti menyedari apabila kita amalkan diskriminasi terhadap orang lain, seperti orang asing, hasil nanti akan terkena kepada pekerja kita sendiri.”
Turut hadir ialah presiden MTUC Abdul Halim Mansor, Setiausaha Agung J Solomon dan kira-kira 70 perwakilan kesatuan pekerja antarabangsa.
Jomo menjelaskan bahawa jika majikan Malaysia dibenarkan untuk terus mengambil kesempatan ke atas buruh asing haram, ia akan menjejaskan pekerja Malaysia.
“Majikan akan terus ambil kesempatan dengan hakikat bahawa mereka akan sentiasa boleh mengambil orang asing bekerja dan bagaimana anda boleh bersaing ketika pekerja asing bekerja dua kali lebih keras untuk pendapatan yang lebih rendah?”
Penasihat penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah itu memberikan contoh bagaimana Kesatuan Pekerja Ladang Kebangsaan (NUPW) terus merudum sejak 30 tahun lalu sebagai contoh.
“Ia (kesatuan itu) hampir tidak relevan, kerana semua pekerja asing di ladang-ladang adalah warga asing dan mereka bekerja dalam keadaan buruk,” kata Jomo.
“Apabila anda membenarkan majikan ambil kesempatan kepada pekerja asing, akibatnya yang dirasai adalah pekerja negara kita sendiri yang turut terkesan menjadi lebih buruk.”
Jomo turut mendedahkan anggaran kerajaan bahawa terdapat 6.7 juta pekerja asing di Malaysia, di mana hanya 2.2 juta orang disenaraikan dalam dokumen kerajaan.
“Salah satu cabaran besar yang akan dihadapi adalah persoalan percubaan untuk memastikan pekerja memiliki pekerjaan. Dan Malaysia agak berjaya dalam memastikan tahap pekerjaan yang tinggi berbanding negara lain.
“Bagaimanapun, banyak pekerjaan melibatkan pekerja asing, dan mengakibatkan pekerjaan tersebut berpendapatan rendah kerana banyak majikan mempunyai pilihan menggunakan buruh asing dan bukan pekerja Malaysia.”
Beliau berkata, tidak benar dakwaan bahawa rakyat Malaysia tidak bersedia melakukan kerja keras, sambil menambah bahawa tuntutan itu dibesar-besarkan oleh majikan untuk kepentingan mereka sendiri.
Beliau menambah bahawa trend dalam tempoh 30 tahun lalu adalah majikan berjaya melobi pekerja asing dan beberapa ahli politik mendapat kontrak untuk membawa masuk mereka untuk bekerja.
“Kita perlu mula berfikir tentang apa hakikat yang akan berlaku terhadap kesatuan (unionisme) dalam dekad ketiga abad ke-21,” kata Jomo yang juga bekas penolong setiausaha agung PBB untuk pembangunan ekonomi.
“Kesatuan pekerja tidak boleh bergantung kepada kejayaan dan perjuangan masa lalu.
“Ia harus melihat ke hadapan dan menghadapi cabaran yang turut dihadapi orang ramai di seluruh dunia, terutama di wilayah kita dan untuk mengubah dan menyesuaikan diri kerja kita sebagai tindak balas (terhadap cabaran tersebut).” – 8 November, 2019.