Putrajaya jangan ratifikasi perjanjian perdagangan Trans-Pasifik, kata Jomo
Iklan
AHLI Majlis Tindakan Ekonomi Jomo Kwame Sundaram menggesa Putrajaya supaya tidak meratifikasikan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), berkata perjanjian itu tidak membawa banyak manfaat dan mungkin menjejaskan kepentingan negara.
Perjanjian itu kebangkitan semula daripada Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik, yang terkubur selepas Amerika Syarikat (AS) menarik diri pada awal 2017 dan memotong tarif berjumlah AS$13.5 trilion (RM54 trilion) atau 13% daripada keluaran dalam negeri kasar global.
Sebelas anggota penandatangan perjanjian itu ialah Malaysia, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
“Ada banyak propaganda untuk ratifikasi CTPPP, yang berdasarkan kepada kepalsuan,” kata Jomo kepada wartawan selepas menyampaikan ucapan di majlis makan malam ulang tahun ke-70 Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia malam tadi.
“Ada dakwaan mengatakan jika kita tidak ratifikasikan CTPPP, ekonomi kita tidak akan berkembang. Sebenarnya itu tidak benar.”
Penasihat penyelidik kanan Khazanah Research Institute itu berkata walaupun eksport mungkin naik sedikit, import akan naik lebih banyak lagi. Import utama dijangkakan ialah automobil.
“Kereta Jepun akan masuk dan melambak dalam pasaran, dan Proton, Perodua boleh ucap selamat tinggal. Import kedua terbesar? Boleh anda teka? Ia sisa plastik.
“Sumber ketiga terbesar sisa plastik dari Jepun, Australia dan Singapura yang semuanya anggota CPTPP. Kerajaan BN (Barisan Nasional) dulu keluarkan 160 lesen loji proses sisa plastik.
“Hakikatnya ialah lebih 90% sisa plastik hanya ke tapak pelupusan sampah. Ia tidak diproses. Kurang 10% yang diproses. Kita hanya memusnahkan alam sekitar kita.”
Jomo yang juga bekas timbalan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi pembangunan ekonomi, mencadangkan Putrajaya “tidak buat apa-apa”.
“Jika anda ratifikasi CPTPP, tidak banyak pun manfaatnya dan jika anda tidak ratifikasi, anda dilihat sebagai anti Jepun, anti Australia dan anti Singapura.
“Jadi biar kita neutral dan tidak ratifikasi. Tidak perlu buat apa-apa. Walaupun anda setuju untuk tandatangan, tanpa ratifikasi, ia tidak bermakna.”
Majlis Tindakan Ekonomi dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan pada Khamis berkata Kabinet akan membuat keputusan akhir sama ada akan meratifikasikan perjanjian perdagangan itu atau tidak.
Implikasi dan kesan potensi CPTPP dibincangkan secara mendalam pada mesyuarat Khamis lalu, kata majlis itu.
Majlis itu turut dianggotai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ignatius Darell Leiking dan penasihat ekonomi perdana menteri Dr Muhammed Abdul Khalid. – 9 November, 2019.