Menjelang 2011, RM5.5 bilion dana awam dikeluarkan dari 1MDB
Iklan
KETIKA diterajui bekas perdana menteri Najib Razak, 1Malaysia Development Bhd memindahkan AS$1.83 bilion (RM5.5 bilion ketika itu) kepada syarikat yang kemudiannya didapati palsu oleh penyiasat, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan minggu lepas
Jumlah itu dipindahkan antara September 2009 dan Oktober 2010 kepada syarikat dikawal sama ada oleh Low Taek Jho atau sekutunya CEO PetroSaudi International Tarek Obaid, menurut keterangan saksi yang juga bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Pihak pendakwaan menuduh Najib bersubahat dengan Low untuk menipu berbilion ringgit dana pelaburan negara itu. Najib yang ketika itu adalah menteri kewangan, juga adalah pemegang kepentingan tunggal 1MDB disebabkan kedudukannya sebagai ketua Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
Pemimpin berusia 66 tahun itu juga adalah pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB. Pihak pembelaan bagaimanapun mendakwa Najib tidak mengetahui sepenuhnya tentang transaksi 1MDB dan diperdaya oleh Low dan sekutunya.
Ketika sesi soal balas, Shahrol berkata AS$1.83 bilion dipindahkan keluar dari negara ini melalui pelbagai taktik penipuan.
Kali pertama adalah bayaran yang sepatutnya untuk usaha sama sektor tenaga antara 1MDB- PetroSaudi International, yang mana 1MDB menyuntik AS$1 bilion untuk 40% pegangan dalam syarikat usaha sama itu, 1MDB-PetroSaudi Ltd.
Beberapa hari selepas usaha sama itu ditandatangani pada 25 September 2009, AS$300 juta dibayar kepada PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd dan AS$700 juta kepada Good Star Ltd.
Kedua-dua syarikat itu kemudiannya didapati palsu, Good Star yang berpangkalan di Kepulauan Seychelles dikawal oleh Low. Manakala, Petro Saudi Cayman pula tidak ada kaitan dengan PetroSaudi International.
Pada Ogos 2010, eksekutif PetroSaudi Patrick Mahony berbincang dengan Tarek menerusi email untuk berjumpa Najib bagi menjelaskan kerugian AS$500 juta dalam usaha sama antara 1MDB dan PSI, dedah dokumen yang diserahkan kepada mahkamah.
Apabila diasak, Shahrol menafikan mengetahui tentang komunikasi dua eksekutif itu.
Walaupun usaha sama pada 2009 itu gagal, Lembaga Pengarah 1MDB berjaya dipujuk untuk melakukan satu lagi usaha sama dengan PetroSaudi International pada tahun berikutnya, kata Shahrol. – 10 November, 2019.