Iklan

Ops Lalang elak tragedi Memali, 13 Mei berulang, kata Rahim Noor

Amin Iskandar7 years ago23rd Oct 2017Berita
Rahim noor tminazirsufari 121
Bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor yakin dengan keputusannya meneruskan Operasi Lalang pada 1987 demi keselamatan negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 Oktober, 2017.
Iklan

TIGA dekad mungkin sudah berlalu tetapi bekas Pengarah Cawangan Khas, Abdul Rahim Noor tidak menyesal: Pertumpahan darah mungkin berlaku jika polis tidak meneruskan Operasi Lalang dan menahan 106 orang yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

“Kami tidak mahu satu lagi tragedi berdarah Memali atau rusuhan kaum 13 Mei,” kata Rahim mengenai tindakan keras polis pada 1987 yang menerima kecaman.

“Jadi masa itu, itulah yang kita buat. Kerana pada perkiraan kita, ketenteraman awam dan keselamatan dalam negeri.

“Kerana sesudah peristiwa pahit 13 Mei 1969 kita harus mencegah dan harus lebih berani,” kata Rahim yang pernah memegang jawatan ketua polis negara dari 1994 hingga 1999.

Kejadian Memali berlaku di perkampungan terpencil Memali, Baling di utara Kedah pada 19 November 1985, dua tahun sebelum Ops Lalang.

Ia menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.

“Saya terkilan tragedi Memali boleh berlaku. Pada saya, jika polis bertindak lebih awal, sudah tentu ia tidak akan berlaku.

“Maka sebab itulah pada 1987, polis terpaksa melakukan penahanan besar-besaran Ops Lalang,” kata Rahim dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight sempena ulang tahun ke-30 Operasi Lalang.

Rahim berkata, nama “Operasi Lalang” dipilih polis sebagai bahasa kiasan untuk menggambarkan keadaan keselamatan negara pada ketika itu.

“Siapa yang suka lalang? Kalau di kebun, lalang itu kita cabut, racun dan buang supaya tidak mengganggu tanaman utama.

“Pada waktu itu keadaan keselamatan negara diibaratkan dipenuhi lalang. Jadi polis perlu melakukan sesuatu untuk memastikan keselamatan negara terjamin,” katanya.

Rahim berkata, idea untuk melaksanakan Operasi Lalang bukan datang daripada perdana menteri merangkap menteri dalam negeri pada ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

“Sekarang dalam keadaan politik sebegini, ramai yang menyerang Dr Mahathir, mengatakan beliau menggunakan Operasi Lalang untuk menyekat musuh-musuh politiknya.

“Tanggapan ini sama sekali tidak benar. Polis yang memberitahu Dr Mahathir yang Operasi Lalang perlu dilaksanakan demi membendung sesuatu yang tidak baik daripada berlaku.

“Senarai tangkapan bukan datang daripada Dr Mahathir kerana urusan keselamatan di bawah bidang kuasa polis walaupun dia merupakan menteri dalam negeri pada ketika itu,” katanya.

Rahim sebelum ini konsisten mengatakan peristiwa Memali pada 1985 berlaku disebabkan ucapan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang dipegang ahli parti Islam itu di seluruh negara ketika itu.

Ucapan itu dianggap titik penting dalam politik orang Melayu pada dekad 1980-an yang menyaksikan perpecahan terburuk orang Melayu sehingga melibatkan tuduhan kafir-mengkafir, sembahyang dua imam dan pulau-memulau dalam kegiatan masyarakat termasuk urusan jenazah.

Sebelum Operasi Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987, lanskap politik negara pada ketika itu panas berhubung isu kerajaan menghantar guru besar dan guru penolong kanan yang tidak mempunyai kelayakan bahasa Cina ke sekolah-sekolah rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).

Masyarakat Cina tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan pada ketika itu. MCA mengangkat isu itu dan dibantu parti pembangkang DAP. Umno pula membela tindakan kerajaan.

Persatuan masyarakat Cina menganjurkan perhimpunan yang kemudiannya dibalas Pemuda Umno. Keadaan menjadi panas dan polis bimbang “tragedi berdarah 13 Mei 1969” akan berulang.

Rahim berkata, perhimpunan yang dianjurkan Umno di Stadium TCPA di Kampung Baru tidak berapa lama sebelum Operasi Lalang dilancarkan membimbangkan.

“Beberapa minggu atau beberapa hari sebelum Operasi Lalang bermula terdapat perhimpunan di Kampung Baru dianjurkan Umno. Keadaan sudah menjadi panas.

“Sudah tentu polis Cawangan Khas perlu membuat kerja. ‘Menjaga tepi kain orang’. Kena intip, kena dengar dan kena pantau. Kami menghantar polis ke sana.

“Kita mempunyai semua rekod. Jadi polis perlu bertindak sebelum keadaan menjadi semakin buruk,” katanya.  

Rahim berkata, ini menyebabkan polis menahan 106 pemimpin politik dan aktivis sosial.

Di antara pemimpin yang ditahan pada ketika itu ialah Presiden Perkasa Ibrahim Ali; bekas Exco Pemuda Umno, Mohamed Fahmi Ibrahim; bekas Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; pemimpin PAS, Mahfuz Omar; dan ramai lagi.

Ketua polis negara semasa Operasi Lalang dilancarkan Hanif Omar mengatakan Dr Mahathir tidak bersetuju dengan Operasi Lalang dan mahu ISA dimansuhkan.

Hanif berkata, beliau dan Rahim terpaksa bertemu Dr Mahathir untuk meyakinkannya.

 “Tun Mahathir tak setuju. Ini depan Tun Mahathir saya cakap. Banyak orang menyalahkan dia, selama ini menyalahkan dia sungguh pun saya sudah menyatakan dua tiga kali pada akhbar dan sebagainya bukan dia yang mengarahkan,” kata Hanif dalam rakaman video forum “Cabaran Semasa Sistem Demokrasi & Perlembagaan Negara Malaysia Ke Arah Pencapaian Wawasan 2020” yang diadakan di Kuala Lumpur pada 17 Februari 2011.

“Saya sebagai seorang pegawai polis, bertanggungjawab kepada menteri saya bukan kepada rakyat. Wakil rakyat kepada Parlimen. Saya kepada menteri saya.

“Bertanggungjawab tetapi tidak tunduk kepada dia. Saya sebagai polis tunduk kepada undang-undang. Ini mesti difahami. Itulah sistem kita.

“Jadi saya bercakap kepada Tun Mahathir, ‘Datuk Seri saya minta maaf ini bukan peranan Datuk Seri, bukan kuasa Datuk Seri. Ini peranan saya, kuasa saya dan kewajipan saya’.” – 23 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan