Iklan

Yusof Apdal dibebaskan, penyokong ajak sertai Warisan

Radzi RazakJason Santos7 years ago23rd Oct 2017Berita
Yusof Apdal
Yusof Apdal mengangkat tangan kepada penyokongnya ketika diiringi pegawai SPRM di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2017.
Iklan

ADIK Shafie Apdal, Yusof Apdal, yang ditahan reman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM), hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dengan jaminan RM100,000 oleh dua penjamin.

Dia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu dan Ketua Umno Bahagian Silam ditahan oleh SPRM sejak 17 Oktober lalu. Dia pada awalnya ditahan reman selama empat hari sebelum disambung remannya dua hari lagi Sabtu lalu.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus membebaskan Yusof kira-kira jam 10:05 pagi dan beliau disambut oleh keluarganya di perkarangan mahkamah.

Isteri dan anak Shafie turut memeluknya sambil melafazkan kesyukuran selepas enam hari direman berhubung siasatan kes penyelewengan RM1.5 bilion oleh SPRM.

Sementara itu, penyokong Warisan yang menunggu di perkarangan kompleks mahkamah turut bersorak dan meminta Yusof menyertai Warisan. 

Ketika melintasi kumpulan penyokong terbabit, mereka menjerit “Masuk Warisan, Datuk! Kita tumbangkan BN!” dan “Ubah Sabah!” sambil dilambai oleh Yusof yang juga adik kepada presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal yang turut hadir menyambut pembebasannya. 

Kumpulan penyokong berkenaan terdiri daripada 100 penyokong Umno Silam dan lebih 200 penyokong Warisan yang berpakaian jingga.

Penyokong beliau yang setia menunggu dalam hujan sejak jam 8 pagi itu turut beramai-ramai bersorak gembira dan melahirkan rasa syukur atas pembebasan Yusof.

Yusof diwakili oleh peguam Peter Lee dan Edward Paul.

Dakwaan penyelewengan dana persekutuan berjumlah RM1.5 bilion itu dipercayai daripada RM7.5 bilion yang diperuntukkan kerajaan persekutuan kepada Sabah menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dari 2009 hingga 2015. 

Shafie merupakan menterinya ketika tempoh itu.

Sementara itu Shafie dan peguamnya akan menjalani prosedur di Mahkamah Tinggi hari ini bagi membatalkan reman ke atas beliau. – 23 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan