Mahkamah tolak permohonan semak perintah reman Shafie
Iklan
MAHKAMAH Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan Shafie Apdal untuk menyemak dan membatalkan perintah tahanan reman ke atasnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Permohonan lanjutan reman itu, yang berakhir hari ini, akan didengar di Mahkamah Majistret pukul 2 petang ini.
Wakil peguam Shafie, Hamid Ismail bagaimanapun memberitahu wartawan pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan minggu ini.
“Saya tidak bersetuju (dengan hujahan peguam), saya ketepikan permohonan semakan,” kata Hakim Ismail Ibrahim selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak.
Selain Hamid, pasukan peguam Shafie terdiri daripada Martin Thomas, Loretto Padua Jr dan Noorazmi Minhat. Loretto adalah juga Setiausaha Agung Warisan manakala Noorazami Ketua Pemuda Warisan Bahagian Sepanggar.
Pasukan pendakwaan pula dianggotai oleh Timbalan Pendakwaraya Rustam Anip dan Rozanna Ayub.
Peguam Shafie pada Sabtu lalu menghantar sepucuk surat ke pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memohon semakan tersebut dengan tiga alasan, penahanan reman itu bertentangan dengan Akta SPRM 2009.
Majistret Cindy Mc Juce Balitus pada Jumaat lepas membenarkan perintah reman selama empat hari ke atas Shafie bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang diterajui beliau antara 2009 hingga 2015. – 23 Oktober, 2017.
MENYUSUL