Iklan

Perang dalam kem Najib

The Malaysian Insight7 years ago23rd Oct 2017Editorial
Dzulkifli ahmad macc 011017 tmiseth 02 (1)
Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berdepan kontroversi selepas rakaman video dakwaan hubungan sulitnya dengan isteri orang tersebar di media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2017.
Iklan

ADA perang sedang dilancarkan di Putrajaya antara penyokong berpengaruh Perdana Menteri Najib Razak tentang masa depan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad.

Di kedua-dua belah pihak ada ahli politik kanan dan pegawai kanan kerajaan serta petugas politik. Kedua-dua belah pihak juga mengupah penulis blog dan menggunakan platform media sosial malah media arus perdana untuk menonjolkan naratif mereka dan mencapai apa yang mereka hajatkan.

Kem yang memihak kepada Dzulkifli percaya ketua agensi anti rasuah itu hanya perlu meminta maaf dan mengambil wanita dalam rakaman video yang tersebar itu sebagai isterinya, dan tutup cerita. 

Mereka percaya semua orang buat silap dan beliau tidak patut letak jawatan hanya kerana masalah peribadi.

Kem ini merasakan lambat laun rakyat Malaysia akan lupa tentang video kontroversi percutian ketua SPRM itu dengan isteri orang ke Bali serta dakwaan beliau punca perkahwinan wanita itu retak.

Tidak pasti kenapa kem ini mempertahankan Dzulkifli memandangkan beberapa orang dalam kalangan mereka, termasuk petugas politik Najib, meramalkan tempoh jawatan Dzulkifli akan tamat beberapa minggu sebelum rakaman video itu muncul. Alasannya, Dzulkifli sombong dan tidak popular dalam kalangan pemimpin Umno.

Kem yang satu lagi itu pula percaya mustahil untuk menutup kes ini kerana ada beberapa laporan polis yang sudah dibuat mengenainya.

Apa yang menjengkelkan kumpulan ini ialah ada bukti bahawa dakwaan hubungan sulit dengan isteri orang ini bukan sesuatu yang berlaku baru-baru ini. Ia sudah agak lama dan mereka pernah diberi amaran tentang tingkah laku yang tidak wajar itu.

Sekarang ini, polis dan pejabat Peguam Negara akan meneruskan siasatan kes di bawah jenayah menggoda wanita seperti yang termaktub dalam Seksyen 498 Kanun Keseksaan.

Mereka yang menyiasat kes itu akan diserang di media sosial. Serangan itu bertujuan menekan mereka untuk beralah, menutup kes dan membenarkan episod yang tidak manis ini dilupakan.

Tampaknya bukan saja masa depan kerjaya ketua SPRM itu yang jadi taruhan. 

Tunggu nanti perang ini akan jadi lebih buruk apabila Najib Razak campur tangan.

Setakat ini, tidak jelas sama ada Perdana Menteri mahu ketua SPRM yang terjejas itu kekal di jawatannya atau berundur.

Keputusannya masih ditunggu dan sehingga itu, ‘askar-askarnya’ akan terus berperang. – 23 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan