Iklan

Warisan cadang rapat umum besar rai tamatnya reman Shafie

Radzi Razak7 years ago23rd Oct 2017Berita
Sabah warisan macc kota-kinaba
Reman Shafie Apdal yang dilanjutkan empat hari lagi hari ini akan tamat pada Jumaat, dan Warisan bercadang mengadakan rapat umum besar meraikan pembebasan itu. Ratusan penyokong Warisan hadir di perkarangan mahkamah hari ini bagi menunjukkan sokongan mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2017.
Iklan

KETUA Pemuda Parti Warisan Malaysia Azis Jamman mengajak ribuan penyokong parti Warisan tanpa mengira bangsa untuk hadir ke kawasan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu Jumaat ini selepas reman Presiden Shafie Apdal tamat.

“Hari ni ada ribuan datang. Kita mahu tiga kali ganda Jumaat ini. Datuk Seri (Shafie) pesan untuk kuatkan semangat dan iltizam.

“Kita berhimpun aman dah buktikan beberapa hari tidak ada kekecohan, tak ganggu lalu lintas, tak ganggu sesiapa. Itulah identiti Parti Warisan,” kata beliau di depan lebih 500 ahli parti yang berkumpul sejak pagi lagi bagi menyokong Shafie di mahkamah hari ini.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus hari ini membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menambah reman empat hari kepada Shafie dalam siasatan kes penyelewengan dana awam RM 1.5 billion Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang diterajui Shafie daripada 2009 hingga 2015.

Dana itu sebahagian daripada jumlah peruntukan RM7.5 bilion kementerian untuk pembangunan projek luar bandar Sabah.

Jumaat lalu Shafie telah direman selama empat hari tapi menghabiskan dua hari di hospital akibat masalah tekanan darah tinggi.

Azis yang turut ditahan selama lima hari sebelum ini turut memuji hadirin yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Naib Presiden Warisan Junz Wong pula menyatakan kegembiraan beliau kerana kehadiran memberangsangkan daripada parti yang berusia setahun itu.

Tidak nampak lagi ada Bajau, Suluk, Cina, Sungai, Brunei, Kadazan dan Murit. Kita semua siapa? Sabah!,” kata beliau disambut dengan sorakan penuh semangat mereka yang hadir.

Junz yang juga merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas yang sebelum ini merupakan ahli DAP turut membayangkan kekuatan Warisan yang terdiri daripada pelbagai kaum di Sabah boleh menumbangkan Barisan Nasional (BN) sepertimana yang pernah terjadi sebelum ini.

“Keadaan terakhir berlaku tahun 1985 bila nak lawan BN. Selepas itu mereka menang besar,” tambah beliau merujuk kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) -parti pelbagai bangsa yang berjaya menumpaskan BN pada pilihan raya negeri 1985.

Parti Warisan hari ini turut mengumumkan himpunan di luar Mahkamah itu turut berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM 2,320.20 bagi membantu mangsa banjir di Kota Belud.

Himpunan bersurai kira-kira Jam 4 petang selepas mereka bergotong royong membersihkan kawasan sekitar.

Sejumlah 13 orang ditahan setakat ini oleh SPRM, ini termasuklah Shafie dan dua adiknyaYusof dan Hamid yang ditahan minggu lalu.

Selain mereka, Naib Presiden Warisan Peter Anthony; Ketua Pemuda Warisan Mohd Azis Jamman; ahli Warisan Bahagian Putatan Amarjit Singh; Ketua Pemuda Umno Tenom Jamawi Jaafar; Ketua Pemuda Umno Tawau Ariffin Kassim dan ahli perniagaan berumur 52 tahun turut ditahan SPRM Sabah.

Dua bekas setiausaha Shafie di kementerian, Izhar Idrus dan Zamri Maulan juga ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Khamis lalu. – 23 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan