PAS kena putuskan hendak bersama Umno atau tidak
Iklan
PAS mesti memutuskan mahu bekerjasama atau tidak dengan Umno dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata penganalisis politik dan pemimpin parti Islam itu selepas penasihat kanannya melontarkan desakan sama secara terbuka.
Pandangan itu disuarakan selepas bekas Pengarah Pilihan Raya PAS, Mustafa Ali semalam mendesak parti Islam itu agar berunding dengan Umno “demi kepentingan negara”.
Mustafa, yang kini mengetuai lembaga penasihat PAS, membuat desakan itu ketika ada beberapa kajian menunjukkan parti Islam itu akan kalah besar dalam PRU14 sekiranya ia bertanding sendiri melawan Umno dan Pakatan Harapan (PH).
“Saya rasa beliau mahu PAS membuat pendirian yang jelas berbanding sekarang ini.
“Beliau percaya dengan sikap bersendirian begini bahaya untuk PAS,” kata Hisomuddin Bakar, penganalisis dari Ilham Centre, mengulas kenyataan Mustafa.
Mustafa meminta parti itu menyambut cadangan perundingan yang dibuat oleh Umno demi kepentingan negara ini.
Dalam satu sidang media khas di Kuala Terengganu semalam, Mustafa mengatakan PAS wajar berunding dengan Umno.
“PAS wajar menyambut tangan yang dihulurkan Umno,” katanya merujuk kepada kenyatan Ketua Penerangan Umno, Annuar Musa sebelum ini.
Mustafa dalam sidang medianya berkata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang melihat PAS tidak ada “chemistry” dengan PH, sebab itu PAS tidak boleh bekerjasama dengan gabungan parti politik pembangkang itu.
Oleh itu, katanya, PAS perlu berunding dengan Umno kerana PAS tidak boleh bersendirian dalam pilihan raya umum akan datang walaupun bersama Gagasan Sejahtera.
Bagaimanapun Mustafa menekankan kerjasama dengan Umno itu bukan bermakna PAS menyertai Barisan Nasional (BN). PAS pernah bersama BN ketika era parti Islam itu dipimpin oleh Asri Muda dalam Pilihan Raya Umum 1974, selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Bagi Ahli parlimen PAS Pokok Sena, Mahfuz Omar, kenyataan Mustafa bukan sesuatu yang pelik kerana kelihatan dia kekal mahukan pertandingan dua penjuru berlaku dalam pilihan raya umum akan datang, bukannya pertandingan tiga penjuru.
“Kenyataan tuan penasihat nampaknya mahukan PAS kekal bertanding dua penjuru. Kalau sebelum ini beliau mahu PAS bersama PKR atau Bersatu, selepas tidak berjaya, beliau mahu PAS bersama Umno dan BN, bukan bersendirian,” katanya.
Mustafa sebelum ini adalah tokoh penting di kalangan pemimpin PAS yang mahukan parti itu bekerjasama dengan PH atau sekurang-kurangnya dengan PKR dan Bersatu bukan dengan Umno.
“Tuan penasihat juga tahu, kalau tiga penjuru, PAS boleh berada di kumpulan yang paling corot sekali,” kata Mahfuz.
Beliau bersetuju dengan nasihat Mustafa itu kerana sebelum ini beliau juga berpendapat yang sama iaitu PAS tidak boleh menyertai pilihan raya dengan bersendirian, jika tidak bersama PH, PAS perlu bersama Umno.
Bekas naib presiden dan ketua penerangan PAS itu juga berkata, kenyataan Mustafa juga membawa maksud beliau tidak mahu PAS berselindung dalam usahanya mahu bekerjasama dengan Umno.
“Sebab itu tuan penasihat berkata, kerjasama ini macam-macam, ada tahaluf, ada taawun, ada kerjasama politik, ada kerjasama pilihan raya dan sebagainya.
“Tetapi jelas dia mahu perundingan dibuat secara terbuka dengan Umno, apa yang hendak dibuat bukan berselindung di sebalik istilah-istilah,” katanya.
Selepas memutuskan hubungan dengan DAP pada 2015 dan membawa kepada runtuhnya Pakatan Rakyat, pemimpin cuba menjalin kerjasama politik dengan beberapa parti pembangkang untuk mengelak pertandingan tiga penjuru.
Namun usaha kerjasama itu gagal selepas Muktamar PAS di Alor Setar pada Mei lalu memutuskan kerjasama politik dengan PKR dan disahkan kemudiannya oleh Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam PAS.
Cubaan kerjasama itu juga dilihat sukar selepas PAS membentuk pakatan politik dengan parti-parti kecil dan pertubuhan masyarakat atas nama Gagasan Sejahtera Rakyat.
Sebelum ini, Annuar memaklumkan Umno masih terbuka untuk bekerjasama dengan PAS.
Beliau juga mendedahkan Majlis Tertinggi Umno memberi mandat kepada Presiden parti, Najib Razak untuk menentukan kedudukan kerjasama antara dua parti orang Melayu itu. – 23 Oktober, 2017.