Iklan

Arul Kanda bantah permohonan Najib tangguh bicara kes pinda laporan audit

Bede Hong5 years ago15th Nov 2019Berita
Najib razak corruption src trial  high court day 3 03
Arul Kanda Kandasamy membantah permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB yang bermula pada Isnin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2019.
Iklan

WALAUPUN menjadi tertuduh dalam perbicaraan kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB Najib Razak, Arul Kanda Kandasamy telah membantah permohonan bekas perdana menteri itu untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan bermula pada Isnin.

Bekas peguam CEO 1MDB N Sivanathan menggesa mahkamah untuk menimbang semula permohonan Najib menangguhkan perbicaraan itu.  

“Kami ada lagi tertuduh dalam perbicaraan ini yang kepentingannya juga sama dilindungi,” katanya kepada mahkamah yang dipengerusikan oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan. 

Peguam Najib juga hadir di mahkamah hari ini untuk memberi alasan penangguhan perbicaraan.

Peguam bela Harvinderjit Singh yang diiringi peguam Farhan Read memberitahu mahkamah bahawa pasukannya memerlukan lebih banyak masa untuk persediaan perbicaraan SRC International yang mana Najib berdepan tujuh tuduhan jenayah membabitkan dana berjumlah RM42 juta.

“Apa yang saya faham masalah itu, anak guam saya tidak diberitahu apa-apa mengenai kes itu dan dia mahu perbicaraan diteruskan sehingga dia diberi peluang untuk membersihkan namanya.  

“Mahkamah perlu melihat kepentingan semua tertuduh. Untuk mengosongkan dua minggu…saya jangkakan keadaan yang sama pada Januari di mana kes itu juga akan dikosongkan pada bulan berkenaan,” katanya.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau dituduh sebagai seorang pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, pula didakwa bersubahat dengan Najib, 66,  meminda laporan itu bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan. – 15 November, 2019.

Berita penuh di sini. 

Iklan
Iklan