Perhimpunan haram, polis panggil 12 pembangkang Sabah
Iklan
POLIS memanggil 12 individu hari ini kerana berhimpun di kawasan sekitar Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu ketika Presiden Parti Warisan Malaysia Shafie Apdal direman 20 Oktober lalu.
Semua mereka termasuk Pengerusi Pakatan Harapan Sabah Christina Liew dipanggil untuk memberi keterangan di Balai Polis Karamunsing Kota Kinabalu dalam siasatan kes bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu M Chandra mengesahkan senarai 12 nama termasuk Christina, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking, Naib Presiden Warisan Junz Wong dan Peter Anthony, Setiausaha Agung Loretto Padua Jr, Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman, Ketua Pemudi Warisan Inasirah Munirah Maijis dan Timbalannya Jo-Anna Henley Rampas.
Empat yang lain ialah ahli Warisan Francis Au, Nicholas Chak dan Adam Winfrid Fistival.
Petang tadi, mahkamah telah melanjutkan reman empat hari lagi ke atas Shafie dalam siasatan kes penyelewengan RM 1.5 billion dana persekutuan untuk pembangunan luar bandar Sabah antara 2009 hingga 2015.
Beliau sebelum ini telahpun direman selama empat hari sejak Jumaat. Bagaimanapun beliau menghabiskan dua hari di Hospital Queen Elizabeth berikutan maslah kesihatan.
Liew ketika dihubungi mendakwa beliau tidak tahu mengapa beliau dipanggil.
“Perhimpunan haram? Saya hanya berada di kawasan mahkamah. Sejujurnya saya tidak tahu. Saya hanya berada di sana untuk melihat perkembangan kes Shafie.
“Saya hanya berada sekejap saja, saya tidak dibenarkan masuk ke mahkamah kerana nama saya tiada (sebagai peguam wakil) dalam rekod (mahkamah),” kata beliau kepada The Malaysian Insight.
Sementara itu Munirah berkara beliau dan Jo-anna Henley Rampas dan seorang lagi pemudi Warisan telahpun bertemu polis jam 6 petang tadi.
“Yang lain lambat mendapat mesej. Mereka akan pergi (memberi keterangan) esok,” katanya.
17 Oktober lalu, polis telah memanggil 11 pemimpin Warisanhttps://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/18931/ untuk menggambil keterangan selepas perhimpunan vigil 10 Oktober lalu susulan penahanan Azis. – 23 Oktober, 2017.