Bikin malulah tutup kes Jho Low!
Iklan
HANYA satu perkataan: Memalukan!
Hanya itu yang boleh merumuskan langkah Putrajaya membersihkan nama Low Taek Jho walaupun dia sedang disiasat atas jenayah bersabit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di beberapa negara lain, kata pemimpin pembangkang dan aktivis anti rasuah.
Kata mereka, Jho Low dan 1MDB tidak dapat dipisahkan kerana dia watak utama dalam urus niaga yang kini dalam siasatan yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan negara itu.
Keputusan menutup kes Jho Low, kata mereka, akan menjadikan Malaysia lawak jenaka di serata dunia kerana skandal ini masih dalam siasatan di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah Mohamed Hanipa Maidin berkata, pengumuman Putrajaya tiada kes untuk disabitkan terhadap Jho Low dibuat ketika Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat baru hendak memulakan prosiding jenayah ke atas 1MDB selepas sebelum ini memfailkan saman sivil.
“Malaysia rupanya lagi cekap daripada DoJ yang dibantu oleh FBI apabila Malaysia sudah tutup siasatan ke atas Jho Low.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan yang MO1 merujuk kepada Perdana Menteri Najib Razak.
Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan petang ini mengatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menutup siasatan ke atas Jho Low.
Zahid mengeluarkan kenyataan itu untuk menafikan laporan awal media, yang memetik jawapan beliau di Dewan Rakyat, bahawa Malaysia ada meminta bantuan Interpol untuk membantu mengesan Jho Low.
Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali yang bertanya apakah Interpol membantu Malaysia mengesan Jho Low.
Lewat petang semalam, Zahid bagaimanapun dalam satu kenyataan menjelaskan polis sudah menutup siasatan terhadap ahli perniagaan itu.
Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata kenyataan “patah balik” Zahid membuktikan beliau hanya “cakap kosong” dalam jawapan balasnya terhadap soalan Azmin.
“Ini menunjukkan bagaimana menteri-menteri kita menghina kemuliaan Dewan Rakyat, apabila Timbalan Perdana Menteri boleh hentam kembali jawapan yang diberikannya tanpa sebarang asas.
“Kita mendesak Zahid datang ke Dewan Rakyat untuk memberikan penjelasan rasmi terhadap jawapan kepada soalan Azmin dan membenarkan ahli-ahli Parlimen bertanyakan soalan balas bagi memastikan maruah institusi Parlimen dapat dikembalikan,” kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata dengan kenyataan Zahid itu, pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) kini akan ada jawapan sama iaitu “tiada apa lagi yang boleh disiasat dengan 1MDB” dan akan terus mengulang-ulangnya.
“Kita sudah sampai ke satu tahap sudah tiada apa lagi yang dikatakan atau dilakukan oleh kerajaan yang boleh kita ambil serius.
“Dia perlu terus dicari dan ditangkap tetapi sayangnya timbalan perdana menteri hanya mementingkan jawatannya,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Ketua Biro Dasar dan Strategi Bersatu, Dr Rais Hussin berkata beliau menonton sesi Parlimen secara langsung melalui TV1 dan mendengar dengan jelas Zahid mengatakan Malaysia mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesan Jho Low.
“Kenyataan pusingan ‘U’ Zahid mengejutkan. Kita perlu menyemak kembali hansard Parlimen, jangan kata pada saya itu juga sudah hilang!
“Jika kita tak boleh cari seseorang selepas mendapatkan bantuan Interpol, kita terus tutup siasatan? Wow!,” kata Rais.
Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel berkata jawapan pada sesi soal jawab Dewan Rakyat oleh menteri dalam negeri itu meremehkan komitmen di bawah Konvensyen Anti Rasuah Pertubuhan Bangsa Bersatu (Uncac) yang mewajibkan negara anggota berkerjasama membanteras rasuah rentas sempadan.
“Bahawa DoJ di Amerika Syarikat dan kerajaan Switzerland sudah menamakan Jho Low sebagai orang yang berkepentingan dan watak utama dalam penipuan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB menunjukkan usaha kerajaan secara sistematik untuk menutup skandal kewangan terbesar dunia hari ini.
“Jelas bahawa Jho Low sedang dilindungi untuk menjaga mereka yang duduk di puncak kuasa politik. Najib mesti jawab persoalan-persoalan berkaitan dengan 1MDB sebelum beliau berdepan dengan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.
“C4 yakin walau macam mana bersungguh-sungguh Malaysia hendak menutup kes ini, kebenaran akhirnya akan terdedah juga,” tambah beliau.
Jho Low ialah ahli perniagaan Malaysia yang dikaitkan dengan beberapa aset yang didakwa oleh DoJ diperoleh secara salah menggunakan dana daripada 1MDB. – 24 Oktober, 2017.