Cinta hari-hari tahanan Operasi Lalang
Iklan
KETIKA banyak orang melihat semula Operasi Lalang tiga dekad lalu dengan hati berbuku dendam, aktivis sosial Maria Chin Abdullah tidak dapat mengelak mengenang hari-hari yang rusuh itu dengan hati yang berbunga-bunga.
Hari-hari selepas 27 Oktober 1987 adalah hari-hari yang membenihkan cinta, berputik dan mewangi hingga ke pelamin. Itulah hari-hari yang mendekatkan Maria dengan arwah suaminya, Yunus Ali sehingga bersetuju mengikat janji untuk hidup bersama — senang sama senang, susah sama susah — lima tahun kemudian.
“Saya dan Yunus banyak berkongsi idea yang sama dan perkahwinan kami juga banyak disebabkan Operasi Lalang,” kata Maria dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, baru-baru ini.
Nama Maria ketika itu Mary Chin Cheen Lian. Nama Mary itu diberikan oleh pengasuhnya dan ibu bapanya memasukkan nama itu pada surat beranaknya. Dia aktif menggerakkan persatuan yang memperjuangkan hak-hak wanita. Yunus pula aktivis pelajar.
Di Universiti Malaya, Yunus menyertai gerakan mahasiswa memperjuangkan isu-isu rakyat bersama rakan-rakan yang celik hati dan budi — Hishamuddin Rais, Kamarazaman Yaacob, Adi Satria Ahmad, Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid Hamidi, Ibrahim dan ramai lagi.
Itulah zaman yang hangat dengan semangat “Mahasiswa Jurubicara Rakyat”.
Gerakan mahasiswa itu kemudian memuncak dengan Demonstrasi Baling 1974, aksi bantahan terhadap kerajaan sebagai membela nasib rakyat miskin, sehingga membawa kepada penahanan hampir 2,000 aktivis pelajar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).
Anwar, Kamarazaman, Adi Satria dan beberapa lagi, termasuk Syed Husin Ali, ditahan di bawah ISA. Hishamuddin dan Yunus bagaimanapun lolos daripada buruan polis dan kemudian melarikan diri ke luar negara, hidup sebagai pelarian.
Ketika di luar negara itu, Maria bertemu Yunus — di London, ketika itu masih sebagai kawan.
Yunus hanya pulang ke Malaysia pada 1984, selepas lebih kurang 10 tahun “mengembara” ke negara-negara Asia dan Asia Barat termasuk sempat berjuang bersama Pertubuhan Pembebasan Palestin menentang rejim Zionis sebelum kemudiannya menetap di United Kingdom.
Apabila pihak berkuasa melancarkan Operasi Lalang ketika kemuncak Oktober 1987 yang penuh gelisah, Yunus turut ditahan bersama 106 ahli politik, pemimpin kesatuan dan aktivis sosial.
“Saya fikir Yunus ditahan sebagai balasan dia melarikan diri pada 1974, kerana pada ketika itu, namanya dan Hishamuddin ada dalam senarai untuk ditahan polis.
“Yunus ditahan tiga tahun selepas pulang ke Malaysia,” kata Maria.
Maria tidak ditahan tetapi episod Operasi Lalang itu mencampakkannya ke garisan depan memperjuangkan pembebasan mereka yang dicekup di bawah ISA.
Pada mulanya adalah untuk rakan-rakan aktivis wanita, Dr Cecilia Ng, Chee Heng Leng, Theresa Lim Chin Chin dan Irene Xavier, tetapi kemudian ia jadi kumpulan sokongan untuk membantu keluarga tahanan.
Menurut Maria, kumpulan sokongan itu adalah latar belakang yang membawa kepada penubuhan badan aktivis hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
“Kita mengadakan perbincangan, untuk menubuhkan kumpulan sokongan tetapi tidak banyak NGO yang datang.
“Mungkin disebabkan kejutan penahanan secara besar-besaran itu sehingga orang seperti Dr Chandra Muzafar (pengasas Aliran) pun ditahan.
“Kebanyakan yang hadir daripada Aliran, tetapi tidak begitu aktif. Akhirnya hanya kami lima hingga enam orang sahaja. Kemudian kami tubuhkan kumpulan sokongan tahanan,” kata Maria.
Mereka yang ditahan itu dipecahkan mengikut kumpulan seperti pemimpin politik, aktivis wanita, kesatuan sekerja, aktivis agama dan lain-lain.
Maria dan rakan-rakannya melawat seramai mungkin keluarga tahanan untuk memberikan sokongan moral dan sebagai tanda solidariti.
“Kami cuba untuk melawat keluarga-keluarga tahanan untuk memberitahu mereka perkembangan terkini sekerap mungkin,” katanya.
Hasil daripada lawatan itulah Maria dan rakan-rakan menghimpunkan keluarga tahanan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH).
“Perhimpunan pertama sungguh traumatik. Polis menyerbu perjumpaan itu dan mengatakan ia perhimpunan haram.
“Kami tutup pintu. Saya ditugaskan berdepan dengan polis. Polis hanya menjerit-jerit tanpa mahu mendengar apa yang saya katakan.
“Kemudian polis tetap menyerbu dan mengambil kad pengenalan setiap orang yang hadir dan merekodkannya. Ini cara polis hendak menakut-nakutkan kami,” cerita Maria.
Pada hari-hari yang rusuh inilah Maria mengenali keluarga Yunus dan mula rapat walaupun kawat duri Kem Tahanan Kamunting memisahkan mereka.
“Yunus terpaksa ‘berjuang’ untuk menyambung pengajian sarjananya sewaktu di Kem Kamunting.
“Yunus juga akhirnya mendapat mesin taip, kertas dan keperluan lain untuk menyiapkan tesis.
“Hanya keluarganya dibenarkan melawat. Saya tidak diberi kebenaran. Pihak berkuasa agak tegas dalam hal lawatan ini,” katanya.
Yunus keluar dari Kamunting pada 1989. Selepas itu dia ikut aktif bersama kumpulan sokongan tahanan ISA berkempen dan kerap berkongsi pengalaman jadi tahanan.
Pada ketika itu, ada beberapa orang lagi yang masih ditahan termasuk pemimpin DAP, Lim Kit Siang.
“Selepas dia dibebaskan, saya banyak membantu Yunus menyiapkan tesisnya. Pada ketika itu sudah sampai masa untuk tesis dihantar.
Ketika ini, hubungan mereka bertambah rapat.
“Tiga tahun selepas itu pada 1992, saya dan Yunus akhirnya berkahwin,” kata Maria.
Menurut Maria, pada awalnya, keluarganya dan Yunus tidak berapa “gemar” dengan perkahwinan mereka. Maria yang ketika itu beragama Kristian memeluk Islam untuk berkahwin dengan Yunus. Selepas memeluk Islam, dia memakai nama Maria.
“Yunus tidak memberitahu keluarganya tentang hubungan kami sehingga kami membuat keputusan untuk berkahwin. Kami pulang ke kampung dan bertemu keluarganya.
“Pada ketika itu semua terkejut apabila mendengar Yunus mahu berkahwin dengan seorang gadis Cina.
“Tetapi saya fikir keluarga Yunus sudah menerima hakikat bahawa Yunus mempunyai kehidupan agak berbeza berbanding adik-beradiknya yang lain,” katanya.
Mereka dikurniakan empat anak lelaki, Azumin, Aziman dan Azemi yang masing-masing kini berumur 24, 23 dan 21 tahun.
Tiga putera itulah sekarang jadi ganti buah hati Maria selepas Yunus meninggal dunia pada 2010 setelah sekali lagi berjuang kali ini melawan penyakit lupus.
“Semasa hidup, Yunus selalu berkongsi pengalaman dengan anak-anak. Mereka sangat rapat dengan dia.
“Apa yang dilalui Yunus dan perjuangan saya, anak-anak faham dan ini sesuatu yang kami sekeluarga banggakan,” kata Maria.
Tahun lalu, sehari sebelum perhimpunan Bersih 5 dianjurkan di Kuala Lumpur, Maria ditahan oleh pihak berkuasa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), undang-undang yang mengantikan ISA.
Tiga anak lelakinya itu kemudian menulis sepucuk surat yang ditujukan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Ketika kami kecil, kami tidak faham apa yang ibu dan ayah kami perjuangkan, kenapa ayah benar-benar menentang ISA.
“Ayah kini telah tiada.
“Hari ini, kami sudah cukup dewasa untuk memahami betapa penting dan besarnya pengorbanan orang-orang seperti mereka.
“Orang seperti ibu dan ayah kami, yang berani bersuara melawan penyelewengan dan rasuah tidak melakukannya untuk diri mereka sendiri, sebaliknya untuk generasi yang akan datang,” tulis mereka.
Beberapa hari kemudian, mereka muncul dalam rapat umum nyalaan lilin di Dataran Merdeka mendesak pembebasan Maria. – 24 Oktober, 2017.