Najib gagal tangguh perbicaraan kes pinda laporan audit 1MDB
Iklan
HAKIM Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan hari ini menolak permohonan Najib Razak untuk tangguh perbicaraan kes pindaan laporan akhir pengauditan 1MDB sehingga 13 Januari tahun depan.
“Saya telah mempertimbangkan permohonan dan ia ditolak. Perbicaraan akan diteruskan,” kata Mohamed Zaini.
Pasukan peguam Najib ketika memfailkan permohonan pada Rabu lepas memberitahu mahkamah mereka memerlukan sedikit masa untuk membuat persiapan membela diri bagi pertuduhan yang dihadapinya dalam kes SRC International yang akan bermula pada 3 Disember.
Bagaimanapun, pada Jumaat lepas bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang dituduh bersubahat dengan Najib meminda laporan itu membantah notis yang difailkan oleh Najib.
Peguamnya, N. Sivanathan berkata Arul Kanda tidak tahu menahu mengenai perkara itu dan mahu perbicaraan diteruskan untuk membersihkan namanya.
Najib,66, dituduh menggunakan kedudukannya dengan mengarahkan pindaan pada laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Beliau di tuduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri antara 22 Februari dan 26 Februari 2016.
Arul Kanda, 43, dituduh bersubahat dengan ahli Parlimen Pekan itu. Beliau didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan audit itu untuk melindungi bekas perdana menteri itu dikenakan sebarang tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Pasukan pendakwaan akan diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Mohd Akram Gharib.
Perbicaraan telah ditetapkan bermula hari ini sehingga 29 November dan dari 13 hingga Januari tahun depan. Seramai 30 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan. – 18 November, 2019.