Pendakwaan akan panggil Arul Kanda sebagai saksi
Iklan
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan pendakwaan akan memanggil bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy sebagai saksi bagi perbicaraan pindaan laporan akhir audit 1MDB.
Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram berkata Peguam Negara Tommy Thomas akan memohon secara bertulis mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memanggil Arul Kanda memberi keterangan bagi pihak pendakwaan.
“Kami akan menyatakan kepada mahkamah berkenaan bahagian ini pada masa yang sesuai,” kata Sri Ram.
Dalam kes ini, Arul Kanda dituduh bersama bekas perdana menteri Najib Razak.
Peguamnya, N. Sivanathan terkejut anak guamnya tersenarai dalam senarai saksi pendakwaan.
Peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah kemudian memberitahu mahkamah beliau akan memfailkan hujah mencabar permohonan pendakwaan itu.
Seksyen 63 Akta SPRM menyatakan:
- (1) Bilamana dua orang atau lebih dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah Akta ini mahkamah boleh, atas permohonan bertulis Pendakwa Raya, menghendaki seorang atau lebih daripada mereka supaya memberikan keterangan sebagai saksi bagi pihak pendakwaan.”
- (2) Bahawa mana-mana orang yang disebut dalam subseksyen (1) enggan membuat sumpah atau ikrar untuk menjawab mana-apa-apa soalan yang sah hendaklah diperlakukan mengikut cara yang sama sebagaimana saksi yang enggan sedemikian boleh diperlakukan di sisi undang-undang oleh mahkamah”.
Tuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB hari ini dibacakan semula di hadapan Najib dan Arul Kanda, dan kedua-duanya meminta dibicarakan.
Najib,66, dituduh menggunakan kedudukannya dengan mengarahkan pindaan pada laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Beliau di tuduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri antara 22 Februari dan 26 Februari 2016.
Arul Kanda, 43, dituduh bersubahat dengan ahli Parlimen Pekan itu. Beliau didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan audit itu untuk melindungi bekas perdana menteri itu dikenakan sebarang tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Pasukan pendakwaan diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Mohd Akram Gharib.
Perbicaraan telah ditetapkan bermula hari ini sehingga 29 November dan dari 13 hingga Januari tahun depan. Seramai 30 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan. – 18 November, 2019.