Jika ISA ada, orang Cina tidak akan berani sertai Bersih, kata Ibrahim Ali
Iklan
Tanggal 27 Oktober ini genap 30 tahun Operasi Lalang (Ops Lalang). Pada tarikh itu tiga dekad yang lalu, 106 orang ditahan tanpa bicara manakala lesen penerbitan tiga buah akhbar ditarik balik. Episod itu kekal jadi peringatan tentang apa yang boleh berlaku sekiranya tidak ada sistem semak dan imbang. Episod itu meninggalkan parut yang dalam pada jiwa Malaysia. Sebagai mengenang hari itu, The Malaysian Insight menemu bual mereka yang terlibat — tahanan dan ahli keluarga, warden pusat tahanan dan polis.
AKTIVIS hak Melayu yang kontroversi, Ibrahim Ali tidak mempunyai mimpi ngeri tentang Ops Lalang. Beliau juga tidak mengenang kembali dengan kemarahan terhadap penahanannya tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Sebaliknya, beliau berkata penahanan itu mengajarnya perlunya undang-undang keselamatan yang kuat untuk melindungi keselamatan negara dan menjaga keamanan di Malaysia.
“Saya mendapat gambaran yang jelas tentang keperluan menjaga keselamatan negara ini ketika dalam tahanan apabila polis menceritakan tentang perkara itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dalam konteks hari ini, Ibrahim berkata ISA akan menghalang sejumlah besar orang, terutamanya kaum Cina, daripada berkumpul dalam demonstrasi jalanan Bersih.
“
Ibrahim adalah antara 106 orang yang ditahan di bawah Ops Lalang pada 1987.
Beliau ditahan selama 58 hari di bawah Operasi Lalang.
Pada 1974 beliau ditahan selama dua tahun dan 60 hari selepas demonstrasi pelajar menentang kemiskinan di Baling.
Presiden kumpulan hak-hak Melayu, Perkasa berkata beliau menentang pemansuhan ISA ketika Perdana Menteri Najib Razak mencadangkannya di Parlimen pada 2011.
“Seramai-ramai yang berucap, saya satu-satunya ahli Parlimen yang membantah usul itu,” kata Ibrahim.
Beliau mencadangkan agar ISA dibuat penambahbaikan bukan dihapuskan kerana tahanan tanpa bicara diperlukan untuk menjaga keselamatan negara.
“Saya paling layak bercakap dalam isu ini kerana saya dua kali di tahan di bawah ISA,” kata bekas ahli Parlimen Pasir Mas ini.
Pada 15 September 2011, Najib mengumumkan pemansuhan ISA.
ISA satu “keperluan”
Apabila Ibrahim ditahan di bawah ISA semasa Ops Lalang, beliau adalah sebahagian daripada sekumpulan ahli Pemuda Umno yang mengambil bahagian dalam protes di stadium TPCA di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak begitu terlibat dengan perhimpunan itu sebagaimana rakan-rakan yang lain.
“Yang terlibat adalah Fahmi Ibrahim yang menjadi pengerusi Biro Pendidikan Pemuda Umno ketika itu dan Tajudin Abdul Rahman, pengerusi perhimpunan.
“Yang bercakap dengan penuh semangat adalah Najib tetapi beliau tidak kena tangkap,” katanya dan memberitahu Fahmi dan Tajudin turut ditahan di bawah Operasi Lalang.
Ramai pemimpin kerajaan juga lari ke luar negara termasuk Lee Kim Sai, timbalan presiden MCA yang juga terlibat aktif dalam aktiviti Ops Lalang itu.
Ibrahim kemudian difahamkan yang penangkapannya adalah perlu kerana polis percaya beliau “berpotensi” mencetuskan kekacauan, berdasarkan sikap dan aktivitinya sebelum itu.
Ibrahim menerima hakikat beliau sejak sekian lama dilabel sebagai seorang rasis, tetapi menyalahkan media kerana memainkan isu itu.
Ia bermula selepas Pilihan Raya Umum 2008 apabila beliau menubuhkan Perkasa selepas Barisan Nasional (BN) hilang dua pertiga majoriti dalam Parlimen.
“Saya berjuang demi kepentingan orang Melayu sejak di ITM (Institut Teknologi Mara) lagi sehingga ditahan pertama kali di bawah ISA selama dua tahun lebih bersama Anwar Ibrahim.
“Saya yang perjuangkan agar ITM dinaikkan taraf menjadi universiti,” kata Ibrahim menceritakan tentang perjuangan beliau untuk orang Melayu.
Beliau merakamkan perjuangan itu melalui bukunya “The Misunderstood Man” yang setebal 820 muka surat.
Antara perjuangan beliau, katanya, adalah membantah sehingga terpindanya Model Ekonomi Baru (MEB) yang dibentangkan Najib untuk menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
“Apabila saya menubuhkan Perkasa, label rasis ini ditampal kepada saya akibat laporan sensasi,” katanya yang pernah ditabalkan sebagai salah seorang “News maker of the year” oleh sebuah portal berita tempatan pada Disember 2016 dan “King of Racists” tahun ini. – 24 Oktober, 2017.