Iklan

Najib 'hilang percaya' terhadap Gani Patail, kata saksi

Bede Hong5 years ago19th Nov 2019Berita
1mdb ali hamsa 191119 tmiseth 02
Bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa berkata demikian ketika menjawal soalan Pendakwa Raya Kanan Khas Gopal Sri Ram. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 November, 2019.
Iklan

NAJIB Razak memecat bekas peguam negara Abdul Gani Patail kerana beliau “hilang percaya” terhadapnya, mahkamah dimaklumkan pada perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB hari ini.

Bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa berkata demikian ketika menjawal soalan Pendakwa Raya Kanan Khas Gopal Sri Ram.

Gani berkhidmat sebagai peguam negara bermula 1 Januari 2002 sehingga 27 Julai 2015. Ali adalah orang bertanggungjawab mengumumkan kontrak Gani ditamatkan kerana masalah kesihatan dihadapinya.

Gani ketika itu menerajui pasukan khas antara agensi kerajaan yang menyiasat skandal 1MDB.

Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk membuang bahagian tertentu dalam laporan audit 1MDB antara 22 sehingga 26 Februari 2016 di Pejabat Perdana Menteri sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi melindungi dirinya daripada tindakan undang-undang.

Ali yang merupakan saksi keempat pendakwaan, ditanya siapakah peguam negara ketika itu.

Ali menjawab peguam negara ketika itu ialah Mohamed Apandi Ali, beliau kemudian ditanya apakah yang berlaku kepada penyandang jawatan sebelum Apandi, iaitu Gani.

Ali: Ada kehilangan percaya perdana menteri kepada Gani Patail.

Sri Ram: Awak tahu kenapa? Jangan bimbang, awak boleh bercakap. Ini mahkamah.

Ali: Bila saya serahkan surat kepada Gani Patail, beritahunya yang beliau ‘dilepaskan’ daripada jawatan peguam negara, beliau kata beliau sudah jangka ia berlaku.

Ali dalam keterangannya berkata, terdapat dua peringkat untuk memecat Gani. Pertama, surat perlu dihantar kepada Yang Di Pertuan Agong memaklumkan pemecatan itu disusuli dengan surat daripada Najib kepada Gani.

Ali: Saya dipanggil oleh perdana menteri untuk tandatangan surat itu dan berikannya kepada Gani dan beritahunya supaya kosongkan jawatan, dan tidak ambil sebarang dokumen keluar dari pejabat.

Ali juga memberi keterangan tentang kronologi kejadian yang menyebabkan pemecatan Muhyiddin Yassin, ketika itu timbalan perdana menteri.

Sri Ram: Awak tahu apa punca hilang percaya ini (kepada Gani)?

Ali: Dalam Kabinet ketika itu, ada isu tentang timbalan perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin. Saya dimaklumkan perdana menteri yang Gani dan Muhyiddin bertemu di pusat beli belah di Kuala Lumpur ketika membeli belah. Itu adalah salah satu isunya. Muhyiddin tanya banyak soalan dan bangkitkan isu 1MDB dalam mesyuarat Kabinet.

Sri Ram: Bagaimana reaksi tertuduh (Najib) terhadap pertanyaan itu?

Ali: Beliau (Najib) tenang dalam mesyuarat Kabinet. Ada jawapan yang diberikannya, ada juga jawapan diberikan menteri kewangan kedua.

Sri Ram: Apa yang berlaku kepada Muhyiddin selepas bertanyakan soalan ini?

Ali: Saya rasa dia dikeluarkan daripada jawatannya. – 19 November, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan