Laporan audit 1MDB dipinda dengan nasihat Dzulkifli Ahmad, kata saksi
Iklan
SEORANG wakil Pejabat Peguam Negara memberi nasihat dalam mesyuarat pegawai kanan pada 2016 supaya bahagian tertentu dalam laporan audit 1MDB dibuang sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (1MDB), mahkamah diberitahu hari ini.
Wakil itu dinamakan sebagai Dzulkifli Ahmad yang kemudiannya dilantik sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dzulkifli adalah salah seorang pegawai kanan yang hadir pada mesyuarat bertarikh 24 Februari 2016 dipengerusikan oleh ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa, yang berlangsung atas arahan Najib Razak untuk menyelesaikan “isu tertentu” dalam laporan audit 1MDB dibuat Jabatan Audit Negara.
Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk membuang bahagian tertentu daripada laporan audit akhir 1MDB antara 22 sehingga 26 Februari 2016 di Jabatan Perdana Menteri, sebelum ia dibentangkan kepada PAC bagi melindungi dirinya daripada tindakan perundangan.
Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy juga didakwa kerana bersubahat dengan Najib.
Turut hadir pada mesyuarat 24 Februari itu ialah Ali, Setiausaha Sulit Kanan Ali Norazman Ayub, Arul Kanda, Dzulkifli, ketua audit negara ketika itu Ambrin Buang dan Saadatul Nafisah dari Jabatan Audit Negara, wakil Kementerian Kewangan Mohamad Isa Hussain dan Asri Hamdin, serta Shukry Mohd Salleh, wakil Pejabat Perdana Menteri.
Ali dalam keterangannya hari ini berkata, antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat adalah pembuangan bahagian laporan yang menyebut tentang kelewatan pengeluaran Nota Penggal Sederhana Islamik (IMTN) bernilai RM5 bilion dengan jaminan kerajaan. Kelewatan itu diluluskan oleh Yang Di Pertuan Agong selepas Najib mengadapnya pada 27 Mei 2009.
Shukry kemudian bertanya sama ada Najib bertanggungjawab melaporkan kelewatan itu kepada Kabinet.
Arul Kanda memilih untuk membuang sebutan kelewatan itu dengan alasan ia keputusan perniagaan, sementara Ambrin pula tidak pasti tentang prosedur melibatkan kelewatan pengeluaran IMTN, kata Ali.
“Saya meminta nasihat perundangan daripada Dzulkifli Ahmad, wakil AGC yang hadir dalam mesyuarat itu.
“Dzulkifli memberitahu saya yang kelewatan pengeluaran IMTN adalah keputusan perniagaan dan tidak semestinya dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet.
“Mengambil kira penjelasan daripada wakil AGC, Ambrin Buang bersetuju untuk mengeluarkan sebutan perkara itu (dalam laporan),” kata Ali.
Dzulkifli dilantik sebagai ketua SPRM pada 1 Ogos 2016 dan meletak jawatan pada 14 Mei 2018, lima hari selepas Pakatan Harapan merampas Putrajaya.
Ketika ditanya Pendakwa Raya Kanan Khas Gopal Sri Ram, Ali mengesahkan ketika mesyuarat itu diadakan, Abu Kassim Mohamed adalah ketua SPRM. Saksi berusia 64 tahun itu berkata Abu Kassim kemudian dipindahkan ke tempat lain. – 19 November, 2019.