Azmin perlu bekerja, bukan buat muslihat
Iklan
PERTEMUAN Azmin Ali dengan ahli Parlimen dari BN dan PKR pada malam tadi bukan sahaja menimbulkan tanda tanya dan persoalan mengenai komplot dan muslihat politik.
Menurut timbalan presiden PKR yang juga menteri hal ehwal ekonomi itu, ia hanyalah pertemuan dengan pihak yang mahu menemuinya.
Sungguh?
Sebab beliau tidak menghadiri mesyuarat barisan pemimpin parti kerana terlalu sibuk bertemu orang dari pelbagai lapisan masyarakat mengikut kelapangan mereka?
Adakah perkara biasa untuk bertemu 20 ahli Parlimen pembangkang di kediaman anda?
Adakah beliau berpendapat rakyat Malaysia tidak cerdik? Jika begitu, PH tentu akan mendapat sokongan yang sama seperti dahulu, jika tidak lebih lagi dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.
Tapi sebaliknya, gabungan parti itu hanya mendapat kurang daripada separuh undi yang diperolehi dalam pilihan raya umum tahun lalu.
Jawapan Azmin hari ini juga menunjukkan beliau tidak menghormati fikiran rakyat Malaysia dan sengaja buat tidak faham.
Ia juga menunjukkan beliau begitu terasing daripada pemimpin lain yang diketuai Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Jika benar pertemuan itu untuk menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir seperti didakwa, sepatutnya Azmin dan puaknya menjalankan tugas sebagai menteri Kabinet dan ahli Parlimen dengan baik. Bukannya dengan membuat tipu helah.
Penolakan meluas yang ditunjukkan di hampir kesemua saluran pusat mengundi menunjukkan gabungan itu masih belum menunjukkan kepemimpinan, komitmen dan keupayaan untuk mentadbir negara ke arah lebih baik.
Terutama sekali ekonomi. Ya, Malaysia menderita akibat upah yang tidak meningkat, ekonomi tidak berkembang dan kesan rasuah semasa pentadbiran BN. Tapi apa yang dilakukan setakat ini?
Satu Kertas Putih Felda, satu dasar Wawasan Kemakmuran Bersama dan mengembangkan ekonomi gig dengan teksi motosikal? Apa lagi yang sudah dirancang, dilancar atau dijalankan dalam tempoh 18 bulan PH mentadbir negara?
Seluruh Kabinet perlu bekerja, bukan sahaja Dr Mahathir Mohamad, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu. Pasukan ekonomi dan seluruh Kabinet perlu bertindak lebih lagi.
Banyak lagi yang Azmin boleh lakukan selain bertemu seteru politik untuk jamuan atau membincangkan peruntukan mereka atau apa sahaja. Malah itupun bawah tanggungjawab menteri kewangan dan bukan bawah kementerian hal ehwal ekonomi.
Tanggungjawabnya yang sebenar adalah menjaga ekonomi seperti dijanjikan dalam manifesto PH. Jika itu beres, orang akan terus mengundi PH dalam mana-mana pilihan raya kecil sekalipun. – 19 November, 2019.