Iklan

Bantu kami jika mahu rumah mampu milik, kata pemaju

Sharon Tan7 years ago24th Oct 2017Berita
Kulim 130817 tmiseth 05
Kekurangan perumahan mampu milik bakal menjadi isu utama dalam pilihan raya umum akan datang dan Perdana Menteri Najib Razak dijangka akan mengumumkan lebih banyak langkah bagi mengatasi masalah ini pada pembentangan Bajet 2018, 27 Oktober ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2017.
Iklan

PEMAJU-pemaju perumahan mahu kerajaan lebih banyak membantu menerusi Bajet 2018 untuk membina lebih banyak rumah mampu milik memandangkan kos pembinaan menyekat keupayaan mereka.

Kekurangan perumahan mampu milik bakal menjadi isu utama dalam pilihan raya umum akan datang dan Perdana Menteri Najib Razak dijangka akan mengumumkan lebih banyak langkah bagi mengatasi masalah ini pada pembentangan Bajet 2018, 27 Oktober ini.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) memberitahu The Malaysian Insight yang ia mempunyai 10 perkara yang diharap berlaku untuk Bajet 2018.

Ini termasuk cadangan bagi membantu pemaju membina rumah mampu milik, pengecualian cukai bagi bahan-bahan binaan dan skim-skim pembiayaan untuk pemilik rumah pertama.

Namun, cadangan utama mereka yang disokong oleh seorang ahli ekonomi bebas ialah kerajaan menukar tugas untuk membina rumah mampu milik daripada pemaju kepada satu agensi pusat.

Bank Negara mengatakan Malaysia kini kekurangan 960,000 unit rumah mampu milik, dan dijangka mencapai 1 juta unit menjelang 2020.

Menurut satu laporan berita awal tahun ini, sebuah badan kerajaan yang ditugaskan untuk membina rumah mampu milik, PR1MA, hanya mampu membina 132,352 unnit di seluruh negara menjelang 2020.

Pada masa ini, pemaju diberitahu yang 30% daripada kesemua rumah yang mereka bina mestilah rumah kos rendah.

“Peranan membina menyediakan rumah-rumah kos rendah harus dikembalikan kepada kerajaan melalui satu badan pusat dengan kuasa berkanun untuk membina rumah-rumah seperti itu,” kata Rehda.

Idea ini disokong oleh ketua ekonomi Alliance Bank, Manokaran Mottain yang berkata pelbagai agensi harus digabungkan menjadi satu badan persekutuan bagi menguruskan perumahan mampu milik.

Ketika ini, terdapat beberapa agensi seperti PR1MA, Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), Jabatan Perumahan Malaysia dan Kementerian Kejejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang membina rumah-rumah berharga dari RM35,000 hingga RM350,000.

“Entiti tunggal boleh menjadi lebih strategik dan terselaras dalam memajukan agenda perumahan mampu milik. Ia juga berfungsi dengan pemaju-pemaju perumahan.

“Entiti ini juga akan dapat berunding dengan setiap negeri di kawasan di mana perumahan mampu milik akan dijalankan,” kata Mottain.

Tambahnya lagi, tanah itu boleh diberi kepada pemaju pada harga yang lebih rendah dengan syarat perumahan mampu milik itu tidak boleh melebihi harga tertentu.

Kata Mottain, ini akan membantu mengatasi kekurangan bilangan rumah mampu milik disebalik permintaan yang tinggi.

Bank Negara dalam laporan tahunan 2015 berkata pasaran kekurangan rumah mampu milik di bawah RM250,000, manakala terdapat lebihan bagi rumah berharga RM500,000 dan ke atas.

Laporan itu turut mengatakan sejak 2010, skim perumahan baharu adalah pada RM500,000 dan ke atas.

Rehad berkata, jika pemaju masih lagi diperlukan untuk membina rumah kos rendah dan mampu milik, bahan binaan yang digunakan mesti dikecualikan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Antara cadangan lain Rehda ialah supaya tanah milik kerajaan diketepikan  untuk perumahan mampu milik.

Persatuan itu turut meminta pemaju-pemaju dibolehkan mengisi 30% kuota perumah kos rendah dengan rumah mampu milik.

Ini kerana sekarang ini pemaju menyalur subsidi unit kos rumah rendah daripada rumah yang berharga lebih tinggi.

“Peningkatan kos pembinaan menjadikan model penyilangan subsidi bagi penyediaan unit kos rendah tidak mapan,” kata jurucakap Rehda.

“Subsidi bersilang bagi unit kos rendah meningkat ketara dan ini ditanggung oleh pembeli dari segmen lain dalam projek, memaksa peningkatan harga,” kata Rehda.

Pembiayaan lebih baik

Rehda berkata garis panduan pembiayaan yang diperkenalkan pada 2010 telah meningkatkan keupayaan pembeli rumah mendapatkan pembiayaan.

Menurut persatuan itu, berlaku kes permohonan pembeli rumah pertama ditolak.

Bagaimanapun, Bank Negara melalui laman web yang baru diwujudkan berkenaan perumahan menunjukkan kelulusan pinjaman di bandar-bandar besar adalah di sekitar 70% atau sedikit tinggi.

Bank Negara berkata ia tidak akan melonggarkan polisi pinjaman gadai janji tetapi telah menggesa industri perumahan meningkatkan usaha bagi mengurangkan kos serta menambah jumlah rumah mampu milik.

Rehda sendiri telah mencadangkan program bantuan pemilikan rumah (HOAP) kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membantu pemilik rumah pertama.

Idea ini menggesa supaya faedah gadai janji dimasukkan ke dalam harga rumah sementara ia sedang dibina.

“Objektif utamanya ialah untuk membantu pembeli pada peringkat awal pembelian  sambil mengurangkan beban membayar sewa dan faedah pinjaman semasa tempoh pembinaan,” katanya.

HOAP ialah bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah, termasuk bayaran faedah, serta bagi mereka yang berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000.

Idea lain ialah menurunkan harga rumah termasuk pengecualian semua duti setem bagi rumah dibawah RM300,000 untuk pembeli rumah pertama dan mengembalikan struktur yuran guaman yang lama bagi hartanah berharga sehingga RM500,000.

Di bawah struktur baharu, yuran guaman meningkat pada 26% dari RM5,285 kepada RM6,650.

“Ini akan mengurangkan kos pemilikan rumah selain dapat membantu golongan sasaran, terutamanya mereka yang baru sahaja bekerja.” – 24 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan