Warisan mohon derma bayar jaminan Shafie
Iklan
PARTI Warisan Sabah hari ini melancarkan kutipan tabung solidariti untuk presiden mereka Shafie Apdal bagi membayar wang jaminan bila reman beliau berakhir Jumaat ini.
Naib Presiden Warisan Junz Wong berkata mereka menjangkakan wang jaminan Shafie mungkin mencecah RM300,000 selepas Ketua Umno Silam Yusof Apdal semalam diperintah membayar RM100,000.
“Ada lebih tiga juta rakyat Sabah dan jika mereka menderma RM10 setiap seorang, (kita) hanya perlu 30,000 orang untuk derma.
“Saya percaya ramai rakyat Sabah yang mahu bersama dengan Datuk Seri (Shafie) dan menyokongnya,” katanya yang juga Adun Likas itu pada sidang media di Kolombong, hari ini.
Mereka menjangka kutipan mencapai RM300,000 Jumaat ini.
Jumaat ini, Shafie bakal dibebaskan setelah direman sebanyak dua kali pada 18 dan 23 Oktober lalu.
Warisan turut memohon derma itu disalurkan terus kepada Akaun Amanah CIMB bernombor 1007-000-5602-058 milik firma guaman Hamid and Co. yang dipegang oleh salah seorang peguam Shafie, Hamid Ismail.
Junz berkata terdapat kebimbangan dengan akaun dan kedudukan kewangan Shafie kerana ia mungkin dibeku kerana siasatan kesnya.
“Akaun Amanah ini boleh diaudit, jadi boleh dilihat sesiapa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Junz berkata beliau masih tidak dipanggil polis untuk memberikan keterangan berhubung kes perhimpunan haram 20 Oktober lalu.
“Polis masih tidak menghubungi saya,” katanya.
Junz dan 11 pemimpin Warisan dan PKR termasuk Pengerusi Pakatan Harapan Sabah, Christina Liew diminta hadir oleb polis bagi memberi keterangan di Mahkamah Kota Kinabalu Jumaat lalu.
Semalam, tempoh reman Shafie dilanjutkan lagi empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan dana persekutuan yang disalurkan ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah ketika beliau menjadi menterinya.
Seramai 13 orang ditahan setakat ini oleh SPRM, termasuk Shafie dan dua adiknya Yusof dan Hamid yang ditahan minggu lalu.
Selain mereka yang ditahan SPRM ialah Naib Presiden Warisan Peter Anthony; Ketua Wira Warisan Mohd Azis Jamman; Ahli Warisan Bahagian Putatan Amarjit Singh; Ketua Pemuda Umno Tenom Jamawi Jaafar; Ketua Pemuda Umno Tawau Ariffin Kassim dan seorang ahli perniagaan berumur 52 tahun.
Dua bekas setiausaha Shafie di kementeriannya Izhar Idrus dan Zamri Maulan turut ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Khamis lalu. – 24 Oktober, 2017.