Iklan

Maszlee menteri paling tidak popular, dedah tinjauan TMI

The Malaysian Insight5 years ago22nd Nov 2019Berita
Maszlee malik 131118 tmiseth 03
Dalam tinjauan pendapat selama lapan jam mengenai menteri yang difikirkan oleh pembaca The Malaysian Insight wajar digugurkan dari jemaah menteri, Maszlee Malik mendapat undian tertinggi 12,034 undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2019.
Iklan

MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik muncul menteri Kabinet paling tidak popular dalam satu tinjauan pendapat dalam talian yang dikendalikan The Malaysian Insight semalam.

Dalam tinjauan pendapat selama lapan jam mengenai menteri yang difikirkan oleh pembaca wajar digugurkan dari jemaah menteri, Maszlee mendapat undian tertinggi 12,034, diikuti Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dengan 11,634 undi.

Kaji selidik dalam talian itu dibuat selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Rabu berkata beliau menimbang untuk merombak Jemaah Menteri susulan kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai hujung minggu lalu.

Dr Mahathir berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, yang difahamkan mendengar pandangan kebanyakan pemimpin kanan parti yang merasakan rombakan Kabinet satu cara untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

Menurut Dr Mahathir, beliau hanya akan merombak Kabinet selepas meneliti dan mengkaji pencapaian setiap menteri.

Sepanjang jadi menteri sejak mengangkat sumpah pada 21 Mei tahun lalu, Maszlee membuat beberapa keputusan yang mencetuskan kontroversi, bermula antaranya dengan menukar pemakaian kasut hitam untuk pelajar sekolah.

Keputusan kementerian meneruskan pengenalan Jawi di sekolah jenis kebangsaan turut mencetuskan polemik dalam kalangan bukan Melayu.

Sementara itu, Waytha pula dianggap tidak melakukan apa yang sepatutnya beliau lakukan sebagai menteri perpaduan untuk menangani sentimen kaum dan agama yang berleluasa sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga tidak popular, hanya lapan undi di belakang Waytha dengan 11,626 undi.

Syed Saddiq dilihat berusaha keras untuk menandingi bekas menteri sebelum beliau iaitu Khairy Jamaluddin.

Tiga lagi menteri Kabinet yang mendapat undi tidak popular yang tinggi lebih 10,000 undi ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Dr Mujahid Yusof (10,488), Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali (1o,118), dan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran (10,158).

Dr Mahathir juga tidak begitu popular dengan 9,123 undi sementara timbalannya Dr Wan Azizah Wan Ismail mendapat 8,383 undi.

Beliau lebih tidak popular lagi sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan 6,635 undi.

Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, Khalid Abdul Samad, Zuraida Kamaruddin dan Teresa Kok masing-masing mendapat lebih 9,000 undi.

Menteri yang mendapat undi di bawah 9,000 ialah Liew Vui Keong (6,230), Muhyiddin Yassin (6,089), Darrel Leiking (5,434), Dr Xavier Jeyakumar (6,547), Anthony Loke (5,596), Salahuddin Ayub (6,395), Mohamaddin Ketapi (7,848), Saifuddin Abdullah (5,370), Mohd Redzuan Md Yusof (8,810), Saifuddin Nasution (6,075), Rina Harun (7,594), Baru Bian (6,198), Yeo Yee Bin (5,659), dan Gobind Singh Deo (6,290).

Menteri yang paling popular yang mendapat undi paling rendah untuk digugurkan ialah Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dengan 4,683 undi.

Beberapa komen dari pembaca juga tidak begitu memberangsangkan. Kebanyakan mereka mahu semua menteri diganti kerana tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Ada juga yang menggesa Parlimen dibubarkan sementara sesetengah yang lain mempersoalkan kegagalan PH mengotakan janji pilihan raya.

PH yang mengambil alih kerajaan persekutuan pada Mei 2018 belum lagi menunaikan semua janji pilihan rayanya, yang dijanjikan sepanjang mandat sehingga pilihan raya akan datang.

Ia misalnya sudah menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tetapi belum lagi mengurangkan kadar tol atau menangguh pembayaran balik pinjaman PTPTN bagi mereka yang berpendapatan kurang RM4,000, seperti dalam manifesto pilihan raya. – 22 November, 2019.

Iklan
Iklan