Iklan

Hendak temberang apa lagi tentang 1MDB, tanya pembangkang

Amin IskandarBede Hong7 years ago25th Oct 2017Berita
Najib razak 201017 tmiseth 03
Ahli Parlimen pembangkang dan penganalisis menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Najib Razak semalam tentang 1MDB adalah cubaan sia-sia kerana skandal kewangan rentas negara itu terlalu besar impaknya dan tidak ada lagi yang boleh dilakukan Najib untuk menutup hakikat itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2017.
Iklan

AHLI parlimen pembangkang dan penganalisis mengecam Perdana Menteri Najib Razak kerana mengatakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digunakan untuk menyelesaikan isu-isu yang berbangkit akibat “perjanjian kuasa yang berat sebelah” yang ditandatangani oleh pentadbiran sebelum ini.

Najib juga dikritik kerana mengatakan 1MDB akan mengecap untung melalui projek Bandar Malaysia, sebuah projek pembangunan bandar di Kuala Lumpur.

Mereka juga mendakwa 1MDB sudah terdedah sebagai satu penipuan dan tidak ada apa-apa lagi yang boleh Najib lakukan untuk mengubah pandangan rakyat tentang kerugian dan hutang yang kini dianggarkan lebih RM42 bilion.

“Apa yang beliau kata itu separuh betul. Ya, perjanjian kuasa itu berat sebelah tetapi ia tidak ada kena-mengena dengan 1MDB.

“1MDB sepatutnya jadi dana pelaburan,” kata James Chin, pengarah eksekutif Institut Asia di Universiti Tasmania.

Komen Najib di blognya semalam dilihat ditujukan kepada pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, yang sekarang mengetuai pembangkang sebagai pengerusi Pakatan Harapan.

Berkenaan kerugian dana itu, Najib menulis apabila perjanjian projek Bandar Malaysia ditandatangani “1MDB dijangka akan membuat keuntungan yang lebih daripada cukup untuk menanggung kerugiannya.”

Menurut Chin: “Ya, kalau tidak ada penipuan, semua keuntungan daripada Bandar Malaysia akan memberi manfaat kepada negara.”

“Hakikatnya, tiada siapa di Malaysia percaya kerajaan mampu menyelamatkan 1MDB.

“Banyak orang fikir 1MDB adalah penipuan yang didedahkan oleh pembangkang kerana jumlahnya terlalu besar. Kalau kecil ia tidak akan begitu menarik perhatian.

“Rakyat Malaysia tahu ada penyelewengan dan mereka terima itu sebagai sebahagian daripada kerajaan Barisan Nasional.

“Tetapi 1MDB lain kerana jumlah terlalu besar dan terlalu ketara, duit sebanyak itu masuk ke akaun Malaysian Official 1,” kata Chin, merujuk pada terma yang digunakan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Rahman Dahlan kemudian memberitahu BBC dalam satu wawancara MO1 merujuk kepada Najib.

Najib menafikan terlibat dalam sebarang salah laku. Dalam tulisan di blognya semalam Najib berkata pendapatan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

“Apabila 1MDB memasuki industri itu, ia adalah pembida terendah dalam semua perjanjiannya, dengan itu menjimatkan Malaysia sebanyak RM200 bilion dalam 20 tahun akan datang,” kata Najib.

Perdana menteri juga menyebut “pemimpin sebelum ini” telah menandatangani perjanjian kuasa yang merugikan.

Mohamad Hisomuddin Bakar, pengarah eksekutif Ilham Centre berkata menyalahkan pemimpin terdahulu tidak menguntungkan Najib.

“Lagi pula, Najib adalah sebahagian daripada kabinet (pentadbiran sebelum ini), yang sepatutnya menasihatkan kerajaan untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya. Mengasingkan diri daripada keputusan bersama menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab.

“Apa yang rakyat mahu lihat sekarang adaah apakah langkah-langkah yang Najib akan ambil serta inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan ekonomi negara. Dengan skandal besar seperti 1MDB ini, ia menghancurkan pencapaian ekonomi pentadbiran sebelumnya.”

Najib juga mengatakan 1MDB memainkan peranan dalam meningkatkan lapan pangkalan tentera, serta membiayai ribuan biasiswa dan menaja pemergian haji ribuan jemaah.

Apa sahaja pencapaian kemajuan ekonomi yang dicapai sebelum ini sudah dicemari dengan skandal besar 1MDB yang menjejaskan nama negara, kata beberapa penganalisis dan ahli Parlimen pembangkang. – Gambar AFP,  25 Oktober, 2017.

Hisomuddin berkata Najib perlu tampil dengan “idea-idea luar biasa” untuk memperbaiki kerosakan itu.

“Tetapi apa yang orang rasa adalah sebaliknya. Menyalahkan pemimpin terdahulu adalah alasan politik yang tidak dapat diterima oleh banyak orang.”

Cynthia Gabriel, aktivis anti rasuah, berkata untuk membersihkan namanya, Najib harus membenarkan soalan-soalan dikemukakan di Parlimen dan mendedahkan laporan audit yang kini diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Berikan bantuan perundangan kepada Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland yang sedang menjalan penyiasatan terhadap penyelewengan dana itu.

“Usahakan supaya dana yang dibekukan dapat dikembalikan untuk membuktikan apa yang dikatakannya itu betul,” kata pengarah eksekutif Pusat Memerangi Korupsi dan Kronisme (C4) itu.

“Kalau perdana menteri tidak buat semua ini, kita anggap ini penjelasan yang tidak masuk akal.”

1MDB, melalui anak syarikatnya Edra, memperolehi loji jana kuasa di Malaysia, Mesir, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu dan Bangladesh antara 2012 dan 2013, yang dilaporkan menelan kos RM12 bilion.

Selepas tawaran awam permulaan (IPO) pada 2015 tidak mendapat sambutan, Edra dijual kepada syarikat China General Nuclear Power Corp (CGN Group) pada harga RM9.83 bilion.

“Ada sejumlah besar dana itu yang sudah diseleweng dan ia harus dipertanggungjawabkan,” kata wakil rakyat DAP Sarawak, Julian Tan.

“Mereka masih belum jawab dakwaan oleh DoJ. Sebagai kerajaan, mereka mesti jawab persoalan-persoalan ini.

“Dan adalah tanggungjawab kami untuk membangkitkannya. Ini bukan jumlah yang kecil.”

Menurut Tan, perdana menteri sepatutnya membuat penjelasan mengenai 1MDB kepada rakyat pada sidang Parlimen ini.

“Hanya kerana dana 1MDB digunakan untuk tujuan baik, ia tidak memberi alasan kepada penyelewengan berbilion ringgit, berdasarkan dakwaan DoJ.”

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menyifatkan penjelasan Najib itu “semata-mata berita palsu.”

“Bagaimana AS$732 juta masuk dalam akaun peribadi Najib — dakwaan yang dinafikan sampai sekarang,” kata Pua.

“Bagaimana duit sebanyak itu menyelesaikan isu-isu yang ditimbulkan oleh ‘pemimpin terdahulu’?”

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran dari PKR menyifatkan komen Najib itu memalukan.

“1MDB adalah skandal kewangan terbesar sejak merdeka dan memalukan kita di peringkat antarabangsa. Susah hendak faham bagaimana perdana menteri boleh berbangga dengan 1MDB dan mendakwa ia satu kejayaan.”

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata kenyataan Najib mendedahkan sistem autokratik yang perlu dirombak. – 25 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan