Di Kamunting, pemimpin beza ideologi jadi sahabat
Iklan
TANGGAL 27 Oktober ini genap 30 tahun Operasi Lalang. Pada tarikh itu tiga dekad yang lalu 106 orang ditahan tanpa bicara manakala lesen penerbitan tiga buah akhbar ditarik balik. Episod itu kekal jadi peringatan tentang apa yang boleh berlaku sekiranya tidak ada sistem semak dan imbang. Episod itu meninggalkan parut yang dalam pada jiwa Malaysia. Sebagai mengenang hari itu, The Malaysian Insight menemu bual mereka yang terlibat — tahanan dan ahli keluarga, warden pusat tahanan dan polis.
BAGI dua kumpulan politik yang selalu bertikai dan pandangan politik umpama langit dan bumi, hari-hari dalam tahanan memecahkan tembok perbezaan dan membuka jalan kepada persahabatan teguh tak lapuk dek masa.
Ops Lalang menyaksikan 106 ahli politik, aktivis sosial dan ahli akademik ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini sudah dihapuskan, pemimpin DAP mendapati mereka berkongsi ruang penjara dengan ahli politik dari PAS.
Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu masih mengingat masa-masanya ditahan di Pusat Tahanan Kamunting dengan baik sekali. Beliau adalah tukang masak di pusat itu dan ia membuka jalan kepada persahabatan dengan pemimpin kanan DAP seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng yang tak lapuk ditelan zaman.
“Ya kerana tukang masak dan juga pergaulan seharian dengan mereka,” kata Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu kepada The Malaysian Insight dalam wawancara tentang pengalamannya ditahan tanpa bicara di bawah ISA tiga dekad lalu.
Bagi Mat Sabu yang kini merupakan presiden Amanah, pengalaman di tahan di bawah Ops Lalang membentuk ikatan yang kukuh antara PAS dan DAP.
Apabila beberapa pemimpin PAS meninggalkan parti Islam konservatif itu dan menubuhkan Amanah, persahabatan dan ikatan mereka terus kukuh dan diterjemahkan dengan kewujudan Pakatan Harapan.
Mat Sabu mengatakan selepas mengenali dengan lebih dekat pemimpin itu di Kamunting, beliau akhirnya memahami perjuangan mereka.
“Bila kita bergaul rapat dengan mereka sejak Operasi Lalang, kita tahu mengenai mereka. DAP ini amat menjunjung Perlembagaan. Hak-hak yang tercatit dalam Perlembagaan dipertahankan mereka. Mereka pertahankan apa-apa perubahan yang hendak dibuat mesti melalui Perlembagaan. Inilah yang saya kenal DAP,” kata Mat Sabu.
Katanya selepas dibebaskan dari Kamunting, persahabatannya dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semakin kukuh.
“Selepas Operasi Lalang, Guan Eng hadapi tuduhan selepas membela gadis di bawah umur yang dikatakan dianiaya oleh pemimpin Melaka. Selepas itu dia didapati bersalah dan masuk jel. Jadi bagi saya mereka perjuang kebenaran tanpa kira agama. Mereka bukanlah sangat perkauman seperti yang dilebelkan kepada mereka,” katanya.
Berikut adalah petikan wawancara The Malaysian Insight dengan Mat Sabu:
TMI: Apa yang berlaku sebelum Operasi Lalang 1987?
Mat Sabu: Sebelum Operasi Lalang 1987, PAS pernah mencari jalan untuk kerjasama dengan Cina iaitu menjelang Pilihan Raya Umum 1986. Masa itu, badan-badan yang mahu kerjasama dengan PAS agak kecil, iaitu CCC (Chiness Consultative Council), parti Nasma, parti Pekerja. Parti-parti ini tidak kuat. Di bawah pimpinan Yusof Rawa, dialog untuk perkenalkan PAS kepada non Muslim bermula. Dewan Bahasa menjadi tempat kita bertemu dan berbincang. Antara yang hadir termasuklah naib presiden MCA. Bagaimanapun waktu isu perkauman dan agama begitu kuat sehingga tercetus Peristiwa Memali pada 1985. Isu keagamaan memang ada waktu itu. Ada orang Islam yang keluar dan masuk Kristian. Saya antara yang bangkitkan dan memainkan isu ini bersama pimpinan Pemuda yang lain.
Pada waktu ini MCA dan Umno juga memainkan isu perkauman yang cukup dahsyat. Umno dengan agenda ketuanan Melayu manakala Lee Kim Sai, timbalan presiden yang juga Exco Selangor, menuntut timbalan perdana menteri (TPM) hendaklah Cina. Kedua-dua isu ini jadi hangat. DAP memainkan isu bahasa dan pelajaran. Timbul ketegangan kaum.
Kita melihat DAP dan MCA seolah-olah ada pakatan kerjasama walaupun kemudiannya kita tahu mereka berlainan arah. Tetapi itulah yang kita lihat waktu itu. MCA membuat perhimpunan di dewan-dewan himpunan Cina dan tokong dengan mengundang tokoh akademik berucap menuntut hak mereka dalam isu bahasa dan TPM Cina. Umno pula membuat himpunan lebih dahsyat lagi dan merancang mahu membuat himpunan setengah juta. Lebih panas lagi apabila Shahidan Kassim menyeru orang yang mahu hadir ke himpunan itu membawa senjata. Paling kurang mancis api. Ia sebabkan timbul ketegangan dan ada peniaga Cina lari bersembunyi. Ia bertambah lagi bila penjual ikan Cina masuk ke kawasan Felda dipukul.
Pemuda Umno pula membuat himpunan di Stadium TPCA di bawah ketuanya Najib Razak. Dalam sepanduk ada tulis “Basahkan keris dengan darah Cina”. Dalam hujan lebat, ucapan mereka juga berapi-api termasuk Najib, Ibrahim Ali, Fahmi Ibrahim dan juga Ahli Parlimen Pasir Salak sekarang Tajuddin Abdul Rahman. Ucapan mereka penuh perkauman.
Di suasana itulah, Prebet Adam mengamuk di Chow Kit. Dalam suasana tegang tu, banyak berita angin disebarkan. Ketika itulah Operasi Lalang dilancarkan. Ia akibat dari Umno dan MCA. Tidak ada kena mengena dengan parti pembangkang. Kita dah kata dari awal ISA adalah untuk politik. Ditangkap begitu ramai termasuk saya. Najib lari ke Indonesia, Lee Kim Sai lari ke Australia. Pimpinan Umno juga ditangkap termasuk Fahmi dan Ibrahim Ali tetapi hanya berakhir di lokap saja tidak ada ke Kamunting.
Yang ke Kamunting pemimpin PAS dan DAP termasuk Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Tan Seng Giaw, Lau Dak Ki dan ramai lagi termasuk pemimpin sekolah Cina. Bila berada di satu tempat bermulalah kami bekenalan secara dekat. Sebelum itu kita kenal Karpal, Kit Siang tetapi jauh-jauh.
Saya ditahan Oktober 1987 dan dibebaskan Januari 1989. Saya ditahan dalam rumah lepas itu dan kena lapor kepada balai polis sehinggalah Pilihan Raya Umum 1990. Yang paling akhir dibebaskan Lim Kit Siang.
Jadi melalui hubungan secara rapat ini, saya, Mahfuz, Khalid Samad, Suhaimi Said agak berkenal rapat dengan Lim Guan Eng, Karpal dan Kit Siang dan juga Tan Seng Giaw. Di situlah kami berkenalan rapat antara satu sama lain.
Pada Pilihan Raya Umum 1990, di bawah Angkatan Perpaduan Ummah, kami bekerjasama walaupun DAP belum bersama tetapi pada 1995 hubungan semakin rapat dan pada 1999, hubungan terbentuk melalui Barisan Alternatif (BA) secara rasmi DAP berada bersama PAS.
Hubungan dengan DAP pada 1999 telah menyebabkan DAP dipukul orang Cina kerana berkawan dengan PAS. Mereka pamerkan gambar Kit Siang dan Karpal pakai serban menyebabkan DAP kalah teruk pada PRU1999 itu. Ketika itu PAS pula menang besar. Ia sebabkan DAP keluar dari BA selepas itu. Selepas keluar dari BA, pada PRU2004, undi DAP meningkat semula.
Selepas itu, usaha terus dibuat mendekati DAP di bawah Fadzil Noor. Antaranya, pemimpin DAP yang dianggap liberal mula dibawa ke markas PAS. Di situlah kita bawa Tan Seng Giaw dan Wee Chu Keong, tetapi Karpal dan Kit Siang belum boleh lagi. Ia berlaku menjelang 2008.
Pertautan rapat hanya berlaku selepas 2008 apabila adanya Bersih. Jadi kalau mahu kata Operasi Lalang pencetus rapatnya hubungan pembangkang, ia memang betul.
TMI: Semasa dalam kem Kamunting, apa peranan tuan? Ada yang kata tuan adalah tukang masak?
Mat Sabu: Saya memang tukang masak. Sukan saya tidak berapa minat. Berkebun pun tidak. Kebetulan mereka suka masakan saya.
TMI: Siapa yang suka makan masakan tuan?
Mat Sabu: Semualah termasuk Karpal Singh, Kit Siang, Lau Dak Kee. Kebetulan pada waktu itu, setiap minggu bahan mentah dari luar dibenar bawa masuk ke dalam kem. Bila mereka (penyokong PAS dan keluarga tahanan) bawa daging, ikan, saya masaklah. Setahun lebih di kem, saya banyak dapat simpan duit sebagai tukang masak. Mereka bagi gaji 80 sen sehari. Selepas itu naik RM1.40. Pada ketika itu 80 sen ini banyak.
TMI: Jadi kerana tukang masak itulah hubungan rapat dengan pemimpin DAP?
Mat Sabu: Ya kerana tukang masak dan juga pergaulan seharian dengan mereka. Lain pemimpin lain kegemaran mereka. Kit Siang dan Karpal suka membaca. Mahfuz suka sembang dan main. Guan Eng suka membaca dan juga bersukan. Khalid Samad suka berdebat dan berbahas dari dulu. Guan Eng orang yang kuat merajuk dulu.
TMI: Bagaimana susunan kedudukan dalam kem?
Mat Sabu: Ia berupa dorm dalam blok dan diasingkan mengikut kaum dan agama. Saya bernasib baik duduk dalam blok kayu, tak panas sangat. Hassan anak Rimau, kes ajaran sesat juga duduk bersama saya. Kawasan Dr Nasir Hashim misalnya, blok batu, sangat panas. Khalid, Mahfuz juga bersama dalam blok saya. Kami berkongsi laman yang sama dengan blok yang diduduki pemimpin DAP. Makan satu tempat dengan mereka.
Semasa Hari Raya, saya tukang baca khutbah sembahyang Hari Raya. Yang paling setia dengar khutbah itu adalah pemimpin DAP, Lau Dak Kee yang dengar khutbah dan hampar tikar sembahyang sambil pakai seluar pendek. Yang lain tengok dari jauh.
Dalam blok kayu yang saya duduki tu ada kira-kira 30 tahanan. Di blok batu ada Yusof Husin, Cecilia Ng, Dr Nasir Hashim dan lain-lain. Semasa Operasi Lalang, yang kena tangkap 100 lebih tetapi yang dimasukkan ke dalam kem Kamunting tak ramai. – 25 Oktober, 2017.