Iklan

Rangkuman kes Najib: Keberanian juruaudit jadi tumpuan negara

Bede Hong5 years ago24th Nov 2019Berita
Nor salwani muhammad 1mdb report tampering trial nov  21 2019
Pengarah di Jabatan Audit Negara Nor Salwani Muhammad menyimpan dua bukti penting dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB melibatkan Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2019.
Iklan

JURUAUDIT kerajaan Nor Salwani Muhammad jadi tumpuan perbicaraan kes Najib Razak minggu lepas, selepas pendakwaan memainkan rakaman audio dibuatnya tentang mesyuarat pegawai tinggi kerajaan untuk membuang bahagian tertentu dalam laporan audit 1Malaysia Development Bhd.

Salwani, pengarah di Jabatan Audit Negara, membuat rakaman mesyuarat pada 24 Februari 2016 itu tanpa pengetahuan sesiapa dengan meletakkan alat perakam suara di bekas alat tulis pegawainya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu.

Ketika sesi soal jawab diketuai Pendakwa Raya Kanan Khas Gopal Sri Ram, saksi berusia 52 tahun itu memberitahu mahkamah yang beliau terkejut dengan apa yang didengarnya.

Salwani: Sebaik sahaja Saadatul Nafisah habis bermesyuarat, saya ambil alat perakam dari bekas alat tulisnya. Saya hentikan rakaman dan balik ke pejabat untuk berjumpa pasukan audit saya, dan kami bermesyuarat. Kami dengar rakaman untuk tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam mesyuarat itu.

Mendengar rakaman itu, kami terkejut dengan apa yang berlaku dalam mesyuarat. Saya kemudian buat salinan audio ke dalam “hard disk” rasmi jabatan.

Sri Ram: Mengapa awak terkejut?

Salwani: Kami terkejut dengan apa yang berlaku. Apa yang dilaporkan dalam laporan Jabatan Audit Negara….ada permintaan daripada mereka untuk dikeluarkan (bahagian tertentu). Ada permintaan supaya ada perkara tidak disebut dalam laporan.

Salwani menafikan beliau bertindak dengan niat jahat apabila merakam mesyuarat itu dan mendakwa beliau melakukannya banyak kali sebelum ini untuk mesyuarat berbeza: “Ia berkaitan audit kami. Saya penyelaras bersama, dan saya patut ambil minit mesyuarat.”

Bagaimanapun, mesyuarat pada 26 Februari itu disifatkannya sebagai “tidak normal”.

Sembilan pengawai tinggi kerajaan hadir dalam mesyuarat itu: Arul Kanda Kandasamy, ketua audit ketika itu Ambrin Buang, ketua setiausaha negara ketika itu Ali Hamsa, setiausaha sulit kanan Ali Norazman Ayub, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, wakil Jabatan Peguam Negara Dzulkifli Ahmad, wakil Kementerian Kewangan Mohamad Isa Hussain dan Asri Hamdin dan setiausaha sulit kanan Najib Shukry Mohd Salleh.

Salwani tidak dianggap pegawai kanan dan tidak dijemput hadir. Rakaman audio itu dimainkan sepenuhnya di mahkamah minggu lepas.
Mesyuarat itu bersetuju dengan cadangan dibuat Ali Hamsa untuk memusnahkan semua salinan asal laporan audit 1MDB. Walaupun ada arahan itu, Salwani memberitahu mahkamah beliau menyimpan satu salinan.

Dakwanya, niatnya hanya untuk rekod Jabatan Audit Negara.

Salinan asal bernombor “09” dan rakaman audio itu diserahkannya kepada penyiasat kes itu selepas skandal 1MDB mula dibuka semula. – 24 November, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan