Iklan

Kepimpinan PKR ikrar sokong Dr Mahathir sehingga Anwar ganti

Bede Hong5 years ago24th Nov 2019Berita
Saifuddin nasution tmikamal 01
Saifuddin berkata kepimpinan jawatankuasa pusat parti itu mengulangi sokongannya terhadap kepimpinan perdana menteri dan memberikan ruang kepada beliau untuk menumpukan usaha mengukuhkan ekonomi, perpaduan kaum dan pentadbiran kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2019.
Iklan

KEPIMPINAN PKR mengulangi komitmen untuk menyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sehingga beliau digantikan Anwar Ibrahim di bawah pelan peralihan Pakatan Harapan, kataa Saifuddin Nasution.

Setiausaha Agung PKR itu berkata kepimpinan jawatankuasa pusat parti itu mengulangi sokongannya terhadap kepimpinan perdana menteri dan memberikan ruang kepada beliau untuk menumpukan usaha mengukuhkan ekonomi, perpaduan kaum dan pentadbiran kerajaan

“Proses peralihan harus tetap aman dan teratur dan menggunakan platform yang sesuai, iaitu majlis kepimpinan Pakatan Harapan,” Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu memberitahu pemberita selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Pada mesyuarat hari ini, Saifuddin berkata para pemimpin bersetuju dengan perkara yang dibangkitkan oleh Anwar secara terbuka pada ucapan malam tadi dan hari ini berhubung proses peralihan.

Anwar berkata beliau tidak akan mengambil jawatan Kabinet sehingga beliau menjadi perdana menteri dan Dr Mahathir mesti diberi ruang untuk mentadbir negara.

Anwar juga dilihat membuat kritikan halus terhadap timbalannya, Azmin Ali, yang pada minggu lalu menjemput 22 ahli Parlimen Umno ke kediamannya di Putrajaya.

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Kamaruddin Jaafar turut hadir pada mesyuarat itu.

Saifuddin turut berkata bahawa PKR menentang “sebarang usaha yang bertentangan dengan semangat konsensus dalam Pakatan Harapan.”
 
“Usaha-usaha ini (pertemuan dengan Ahli Parlimen Umno) dengan jelas tidak mencerminkan semangat perjuangan yang dipegang Pakatan,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Kami, di PKR, ulangi bahawa kita mesti tetap menghormati keputusan pilihan raya.”

Sementara itu, beliau berkata persediaan sedang dijalankan untuk kongres parti yang akan diadakan dari 6 hingga 7 Disember di Melaka, yang akan melibatkan seramai 2615 perwakilan dari 221 bahagian di seluruh negara.  – 24 November, 2019. 

Iklan
Iklan