Guan Eng cuba alih perhatian tanah runtuh dengan isu SJKC
Iklan
KETUA Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng cuba untuk mengalih perhatian kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah yang meragut 11 nyawa, dengan menuduh Putrajaya tidak membenarkan perpindahan sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dari Kedah ke negeri itu, kata Timbalan Menteri Pendidikan II Chong Sin Woon.
Beliau berkata, dakwaan Lim itu salah sama sekali kerana kementerian beliau tidak pernah mempunyai sebarang dasar bahawa SJKC tidak dibenarkan dipindah merentasi sempadan negeri.
“Mengapa di saat-saat kita akan berdepan dengan pilihan raya, kemudian ada kejadian tanah runtuh di sana barulah ketua menteri alihkan perhatian terhadap isu SJKC?” katanya di sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons dakwaan Lim sebelum ini bahawa Kementerian Pendidikan menghalang perpindahan SJKC Poay Chai dari Merbok, Kedah ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Bagaimanapun, SJKC Poay Chai ditutup pada 2015 memandangkan tiada pelajar yang mendaftar masuk ke sekolah berkenaan.
“Saya hendak bertanya kepada ketua menteri, sekolah (SJKC Poay Chai) ini tidak ada murid semenjak 2015. Tetapi tak pernah beliau ambil tahu hal ini, sebab proses itu berlaku selama dua tahun,” katanya.
“Saya mencabar Guan Eng tunjukkan surat daripada Jabatan Pendidikan sama ada JPN Pulau Pinang dan JPN Kedah, adakah surat mengatakan bahawa SJKC tak boleh dipindah menjangkau sempadan negeri?
“Sedangkan tidak pernah ada apa-apa dasar atau surat dikeluarkan JPN bahawa SJKC tak boleh dipindah merentasi sempadan negeri. Jadi, ini satu pembohongan dari seorang ketua menteri,” katanya.
Chong turut memaklumkan bahawa kementeriannya menerima bantuan kewangan yang disalurkan menerusi Kementerian Kewangan sebanyak RM50 juta sebagai peruntukan kepada SJKC.
Sementara itu, RM15 juta lagi diberikan kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan. – 25 Oktober, 2017.