Pelaburan asing baharu Khazanah, Petronas RM6.4 bilion, kata Putrajaya
Iklan
KIRA-KIRA RM6.4 bilion dilaburkan di China, India dan Singapura setakat ini oleh syarikat berkaitan kerajaan, kata Putrajaya.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohd Radzi Md Jidin berkata pelaburan ini dijalankan oleh Khazanah Nasional Berhad dan Petronas Berhad antara Mei 2018 hingga Jun tahun ini.
Ini termasuk pembelian RM553 juta pegangan dalam pasaran saham China dan pelaburan sebanyak RM84 bilion dalam bursa saham India, kata Radzi pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Pelaburan lain adalah RM2.52 bilion dalam N Financial Co, RM1.442 bilion dalam IHH Healthcare, RM1.087 bilion dalam Prince Court Medical Centre dan RM635 juta dalam CIMB Group.
“Pada April tahun ini Petronas membeli ekuiti dalam sebuah syarikat beribu pejabat di Singapura iaitu M Plus Energy Solutions Private Limited sebagai langkah strategik untuk mengembangkan perniagaannya dan memasuki industri tenaga boleh diperbaharui,” katanya ketika menjawab soalan dari Ahmad Maslan (BN-Pontian).
Tambah beliau, Khazanah hanya menjual dua aset antara Mei 2018 hingga Jun tahun ini, iaitu penjualan 16% ekuiti dalam IHH Berhad bernilai RM8.42 bilion dan aset hartanahnya di Singapura menerusi pegangan dalam M+S Pte Ltd bernilai S$1.575 bilion.
Jelas Radzi, pelaburan Khazanah dalam IHH adalah melalui pertukaran saham dengan syarikat Turki sebelum ekuiti itu dijual kemudian kepada syarikat lain.
Pelaburan dalam Prince Court pula, Khazanah membeli ekuiti daripada Petronas Berhad sebelum menjualnya kepada IHH, katanya. – 25 November, 2019.