Iklan

Aduan pada kastam berkurangan, rakyat mula faham, terima GST

Yasmin Ramlan7 years ago25th Oct 2017Berita
Gst epa
Timbalan Menteri Kewangan Othman Aziz berkata bagi 2016, jabatan kastam mencatatkan 6,830 aduan sementara aduan semakin kurang bagi tahun ini iaitu sehingga 24 Julai, hanya 185 aduan. – Gambar EPA, 25 Oktober, 2017.
Iklan

JUMLAH aduan yang berkurangan diterima Jabatan kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhubung cukai barangan dan perkhidmatan (GST) membuktikan kefahaman dan penerimaan rakyat terhadap cukai itu, kata timbalan menteri kewangan.

Othman Aziz berkata bagi 2016, JKDM mencatatkan 6,830 aduan sementara aduan semakin kurang bagi tahun ini iaitu sehingga 24 Julai, hanya 185 aduan yang diterima.

“Peningkatan berterusan daripada segi pemahaman dan penerimaan GST di kalangan rakyat berikutan program publisiti dan kesedaran yang dijalankan secara inklusif oleh kerajaan,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan rakyat hari ini.

“Kerajaan juga mengambil pendekatan proaktif dengan melaksanakan usaha yang berterusan untuk memberi kefahaman tepat mengenai pelaksanaan GST terutamanya kepada golongan peniaga melalui pelbagai program kesedaran dan latihan serta platform perbincangan isu GST.

Baru-baru ini Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkata GST menjejaskan peniaga Melayu sehingga menyebabkan mereka “gulung tikar” dan “tutup kedai”.

Semalam pula, Perdana Menteri Najib Razak berkata GST tidak seharusnya dianggap sebagai cukai baharu, sebaliknya sebahagian daripada pembaharuan cukai menyeluruh yang direka bagi menjadikan Malaysia lebih berdaya saing, dapat mengawal ekonomi hitam dan haram, serta mengurangkan pengelakan cukai dan meluaskan asas percukaian negara. – 25 Oktober, 2017.

MENYUSUL

Iklan
Iklan