Iklan

Yusof Apdal nafi siasatan SPRM bermotif politik, kekal dalam Umno

Radzi RazakJason Santos7 years ago25th Oct 2017Berita
Yusof apdal
Yusof, adik kepada Presiden Warisan Shafie Apdal berkata penyiasatan SPRM terhadapnya bukan bermotif politik kerana beliau ketua bahagian Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2017.
Iklan

SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas pemimpin Parti Warisan Sabah bukan bermotifkan politik, kata adik kepada Shafie Apdal, kerana siasatan itu turut melibatkan pemimpin Umno.

Yusof Apdal yang ditahan reman enam hari minggu lalu, berkata SPRM menyiasat dirinya kerana hubungan kekeluargaannya dengan Shafie dan bukan kerana kedudukan politiknya.

Yusof ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu dan juga Ketua Umno Bahagian Silam.

“Saya sudah jangkakan ini dan faham mengapa SPRM memanggil saya. Saya faham kerana hubungan keluarga saya (dengan Shafie).

Tidak, penyiasatan (terhadap saya) bukan bermotif politik. Saya ketua bahagian Umno, kalau ia (sebab politik) saya tidak akan disiasat,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.

Yusof adalah antara 15 individu yang ditahan oleh SPRM untuk membantu siasatan berhubung penyelewengan dana persekutuan bagi pembangunan luar bandar Sabah berjumlah RM1.5 bilion, antara 2009 hingga 2015 ketika Shafie jadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Yusof yang dibebaskan dua hari lalu turut berkata beliau kini mendapatkan rawatan di hospital kerana buasir dan mungkin perlu menjalani pembedahan.

Beliau turut memuji semua pegawai SPRM sepanjang tempoh remannya yang menjaganya dengan baik dan mematuhi standard prosedur operasi mereka.

“Hanya satu perkara buat saya tertekan, iaitu duduk dalam bilik tertutup itu,” katanya tersenyum.

Yusof turut menafikan beliau akan menyertai Warisan yang diketuai oleh Shafie walaupun mengaku tertekan dengan siasatan SPRM dan ada menerima lamaran untuk menyertai parti pembangkang negeri itu.

Yusof berkata beliau tetap setia dengan kepimpinan Presiden Umno Najib Razak.

“Beginilah, keluarga tetap keluarga. Tetapi Shafie hormati keputusan saya (untuk kekal dalam Umno) dan saya hormat keputusan dia.

“Keputusan saya untuk setia kepada Umno dan saya masih harap Umno akan terus memerintah Sabah dan negara ini,” katanya.

Yusof ditahan pada 18 Oktober lalu dan direman empat hari sebelum disambung pada 21 Oktober selama dua hari lagi.

Beliau yang dibebaskan tanpa syarat turut dikehendaki membayar RM100,000 dengan dua penjamin oleh Majistret Cindy Mc Juce Balitus di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Isnin lalu.

Shafie kini ditahan reman lapan hari sejak 20 Oktober lepas, yang dijadualkan berakhir Jumaat ini. – 25 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan