Tian Chua gesa pemecatan 2 ahli PKR ditarik balik
Iklan
PEMECATAN dua ahli PKR Ketua Cabang Bera, Zakaria Abd Hamid dan seorang lagi ahli PKR adalah tidak adil dan melalui proses sewajarnya, serta perlu ditarik balik, gesa Chua Tian Chang.
Naib presiden PKR yang lebih dikenali sebagai Tian Chua itu berkata Zakaria dan Ismail Dulhadi dipecat atas dakwaan salah laku tanpa diberi peluang membela diri.
“Untuk memecat ahli ialah perkara yang amat serius, khasnya jika tindakan itu diambil terhadap seorang aktivis veteran parti yang turut dipilih sebagai ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
“Ia tidak boleh diterima untuk sesiapa dipecat tanpa diberikan notis terlebih dahulu dan peluang untuk mempertahankan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chua juga berkata pemecatan dua ahli PKR itu dilakukan secara tergesa-gesa sedangkan hakikatnya kesalahan yang didakwa itu berlaku setahun yang lalu.
Ahad lalu, Lembaga Disiplin PKR mengumumkan pemecatan Zakaria dan Ismail berkuatkuasa serta-merta selepas disyaki terbabit dalam kes rasuah semasa pemilihan parti tahun lalu.
Zakaria didakwa memberi kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan sekurang-kurangnya RM300,000 dalam mesyuarat bersama pemimpin tempatan di Pahang pada 1 September, menjelang pemilihan ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kassim berkata keputusan pemecatan dibuat selepas mendapat nasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi surat bertarikh 23 Oktober 2019.
“Kami diberitahu Lembaga Disiplin ‘hanya’ menerima nota dari SPRM. Jadi, mengapa Lembaga Disiplin tidak mengadakan perbincangan dan siasatan secara menyeluruh?” kata Chua.
“Tindakan mereka bolah ditafsirkan sebagai tergesa-gesa dan menyasarkan secara tidak wajar, tanpa proses sewajarnya untuk memaklumkan ahli niat mereka serta memberi tertuduh peluang menjelaskan tuduhan tersebut.”
Chua meningtakan lembaga disiplin bahawa PKR pada asalnya adalah parti yang menentang pemecatan secara tidak wajar presidennya Anwar Ibrahim dari jawatan timbalan perdana menteri pada 1998.
“Sebagai sebuah parti yang ditubuh berasaskan gerakan pembaharuan dan keadilan, agak malang tindakan berat sedemikian dikenakan.”
Chua juga percaya Anwar tentu akan memilih pendekatan yang kurang keras seperti memberi surat tunjuk sebab atau menggantung keahlian. – 26 November, 2019.