Bustari serah RM3.7 juta selesai saman lucut hak wang 1MDB
Iklan
AHLI perniagaan Sarawak Bustari Yusof menyerahkan kira-kira RM3.7 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai penyelesaian bagi kes lucut hak wang berkaitan dana 1MDB.
SPRM sudah menerima cek berjumlah RM3,683,117.94 semalam, kata Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman kepada hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan pendakwa menarik semula saman yang difailkan terhadap Bustari.
“Pendakwaan juga mengarahkan supaya melepaskan pembekuan akaun (milik Bustari),” Allan memberitahu mahkamah.
Bustari diwakili oleh peguam Mohd Yusof Zainal Abidin and Tiara Katrina Fuad.
Pada Julai lalu SPRM memfailkan saman lucut hak untuk mendapatkan semula RM11.92 juta dari ahli perniagaan itu.
Peguamnya kemudian mengemukakan representasi kepada Peguam Negara Tommy Thomas bagi menyelesaikan kes lucut hak terbabit.
Kenalan rapat bekas perdana menteri Najib Razak dan abang kepada bekas menteri kerja raya Fadillah Yusof tidak hadir di mahkamah hari ini.
Beliau dilaporkan meninggalkan Malaysia selepas pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu, selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.
Perbicaraan hari ini adalah satu daripada daripada permohonan lucut hak yang difailkan SPRM terhadap 41 individu dan entiti untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta dana 1MDB yang didakwa dipindahkan ke akaun Najib. – 26 November, 2019.