Mahkamah akan putuskan isu tiada ikat jamin bawah Sosma
Iklan
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan berhubung sama ada penafian ikat jamin kepada Adun DAP yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) adalah mengikut Perlembagaan pada Jumaat ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh petang ini selepas mendengar hujah daripada peguam G Saminathan.
Exco Melaka itu adalah seorang daripada sekumpulan individu yang ditahan bulan lalu kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh mewakili Saminathan yang ditahan sejak 29 Oktober lalu.
Ramkarpal yang dibantu oleh Sangeet Kaur Deo, berhujah bahawa Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 tidak berperlembagaan kerana ia menghalang sepenuhnya sebarang ikat jamin.
Beliau juga berpendapat undang-undang itu bersifat diskriminasi kerana ia hanya terpakai kepada lelaki.
Seksyen 13 (1) berbunyi bahawa ikat jamin tidak boleh diberikan kepada seseorang yang didakwa dengan kesalahan keselamatan manakala Seksyen 13 (2) menyatakan pengecualian diberi kepada individu berusia di bawah 18 tahun; wanita; atau yang sakit dan tidak berdaya.
“Kuasa untuk mempertimbangkan ikat jamin adalah kuasa kehakiman dan larangan itu sama seperti merampas fungsi kehakiman oleh Parlimen,” Ramkarpal memberitahu semasa pendengaran hari ini.
Peguam berpendapat Mahkamah Tinggi berkuasa untuk menentukan sama ada Seksyen 13 Sosma adalah ultra vires (bertindak di luar batas undang-undang) Perlembagaan.
Ramkarpal menyatakan pesalah “tidak boleh dijamin” tidak pernah ditakrifkan dalam mana-mana undang-undang. “Apa yang dinyatakan adalah kesalahan yang boleh dijamin dan tidak boleh dijamin, yang bermaksud mahkamah mempunyai budi bicara.”
“Kami meminta mahkamah membatalkan Seksyen 13 sebagai tidak berperlembagaan.” – 26 November, 2019.
Berita penuh di sini