Penjualan data dalam forum Lowyat.net sedang disiasat
Iklan
AGENSI kawal selia internet Malaysia mengatakan arahannya untuk menurunkan artikel mengenai dakwaan wujudnya kecurian data peribadi pengguna di forum dalam talian Lowyat.net disebabkan salah faham perhubungan dan kini sedang menyiasat pelanggaran undang-undang berkaitan data peribadi.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak mengatakan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang mengesan pihak ketiga yang cuba membekalkan dan menjual maklumat peribadi itu di forum itu.
“Ia dalam siasatan dan tindakan sudah tentu akan diambil. Pihak polis, SKMM sedang siasat secara terperinci.
“Yang penting pada kita bukan saja sumber dimana ia diperolehi tapi (kita akan) pastikan individu berkenaan (dikenakan) tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Salleh berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran yang bertanya apakah tindakan kerajaan terhadap pihak ketiga tersebut.
Minggu lalu, pengasas Lowyat.net Vijandren Ramadass berkata, pihaknya menyiarkan artikel berhubung kecurian data besar-besaran selepas agensi penguatkuasa internet dalam negara tidak memberi sebarang maklum balas berhubung perkara itu.
Katanya, pihaknya sudah memaklumkan SKMM selepas menyedari posting “penjual” yang secara agresif mempromosikan jualan data terbabit pada petang Rabu lalu.
Kebocoran data itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin DAP Tony Pua yang mengatakan pihak SKMM lambat bertindak dalam perkara yang serius ini.
Salleh juga berkata, terdapat perselisihan faham antara Lowyat dan SKMM berhubung isu tersebut pada mulanya.
“Memang ada sedikit ‘miscommunication’ antara MCMC dan Lowyat dalam hal ini yang mana telah diselesaikan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching yang bertanya mengapa SKMM mengambil tindakan terhadap Lowyat dan bukannya terhadap pihak ketiga yang menjual data terbabit.
Lowyat berkata, laporan menyebut maklumat peribadi rakyat Malaysia, diambil dari Jobstreet.com, Persatuan Perubatan Malaysia dan pemohonan pinjaman perumahan rakyat Malaysia, antara lain, dijual kepada bitcoins sejak semalam di forum miliknya.
Katanya, data utama adalah data pelanggan daripada syarikat telekomunikasi termasuk Celcom, DiGi, Maxis, Tune Talk dan Umobile.
Artikel itu menyebut insiden itu mungkin merupakan salah satu daripada pelanggaran data terbesar dalam sejarah Malaysia. – 26 Oktober, 2017.