Iklan

Kes anggota TLDM dibunuh, kementerian pertahan SOP bilik tahanan

Yasmin Ramlan7 years ago26th Oct 2017Berita
Navy murder funeral oct 1
Jenazah Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri dikebumikan di Tanah Perkuburan Rantau Panjang. Dia adalah salah seorang daripada anggota TLDM yang dipercayai didera dan dibunuh di bilik tahanan TLDM Unit Sungai Wangi, Setiawan, Perak bulan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2017.
Iklan

KEMENTERIAN Pertahanan mempertahankan prosedur operasi standard (SOP) mereka dalam kes kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dipercayai dibunuh di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi di Setiawan, Perak bulan lalu.

Berpuas hati dengan SOP yang sedia ada, Timbalan Menteri Pertahanan Mohamad Johari Baharum berkata, insiden malang itu berlaku disebabkan pelanggaran SOP.

Beliau menjelaskan pasukan-pasukan keselamatan yang lain seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Angakatan Tentera Malaysia (ATM) juga mempunyai bilik tahanan tetapi tiada perkara sedemikian terjadi sehingga menyebabkan kematian.

“Memang setakat ini, kita amat puas hati dengan SOP yang ada. Kalau kita lihat bilik tahanan yang ada, bukan sahaja TLDM, tapi TUDM, tentera. (Namun) Ini kejadian pertama.

“Sebelum ini ada (kematian) tapi bukan mati kerana penderaan tapi oleh kerana masalah anggota itu sendiri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anwar Nasarah yang bertanyakan apakah bentuk penyelarasan terhadap SOP yang sedia ada.

Bulan lalu, dua anggota tentera Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailal Tuiman meninggal dunia di bilik tahanan TLDM ketika menjalani latihan fizikal di Kem Sungai Wangi, Setiawan.

Ketika menjalani latihan itu, kedua-dua anggota berkenaan mengadu kepenatan dan direhatkan sebelum mengalami muntah dan sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada 3.15 petang.

Susulan itu, tiga anggota TLDM yang ditahan pada 1 Oktober lalu bagi membantu siasatan kes kematian tersebut.

“Kita telah tubuhkan jawatankuasa pemantauan untuk siasatan. Setakat ini, SOP yang ada ni kalau dipatuhi tak akan berlaku, bererti, bahawasanya mungkin ada pelanggaran SOP. Ini saya tak dapat pastikan. Perkara ini dalam siasatan.

Johari berkata, meskipun terdapat banyak kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu, namun insiden tersebut berlaku di luar kawasan “blind spot” CCTV dan ia juga terdorong oleh individu itu sendiri.

“Di bilik tahanan memang dipantau, itu berlaku di luar kawasan ‘blind spot’ CCTV. Kita ada banyak CCTV tapi ini adalah faktor manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff yang bertanya mengenai kelemahan dalam SOP tersebut dan penambahbaikan yang dapat dilakukan.

Bagaimanapun, Johari berkata, pihaknya mengambil berat perkara itu dan menambah jumlah pegawai bagi memastikan pemantauan yang lebih rapi di kawasan bilik tahanan.

Tiga anggota TLDM tersebut didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung, Lumut pada 13 Oktober lalu atas pelbagai tuduhan berkaitan membunuh dan mencederakan dua rakan sekerja dalam bilik tahanan itu. – 26 Oktober, 2017.
 

Iklan
Iklan