Iklan

Keputusan status pembelian helikopter dalam masa terdekat, kata Mat Sabu

The Malaysian Insight5 years ago28th Nov 2019Berita
Mohd sabu 201900419 afif 10
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata laporan mengenai pembelian kontroversi itu akan dibentang ke Kabinet dahulu dan keputusan akan dimaklumkan kepada Parlimen dan orang ramai selepas itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2019.
Iklan

KABINET akan membuat keputusan mengenai pembelian enam helikopter yang dibuat oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu memberitahu Dewan Rakyat, laporan mengenai pembelian kontroversi itu akan dibentang ke Kabinet dan keputusan akan dimaklumkan kepada Parlimen dan orang ramai selepas itu.

“Hala tuju perolehan 6 buah helikopter McDonnel Douglas (MD530G) akan dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan dalam masa terdekat. 

“Sebarang tindakan terhadap syarikat dan mereka yang berkaitan akan diambil sewajarnya selepas keputusan terhadap hala tuju perolehan ini dibuat,” kata Mohamad, menjawab soalan dari Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai).

Perjanjian yang ditandatangani pada Oktober 2015 itu didedahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila enam helikopter MD530G tersebut tidak diterima sehingga ke hari ini.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  sepatutnya menerima enam helikopter itu pada Disember tahun lalu.

Pentadbiran BN sebelum ini sudah membayar kira-kira RM112 juta kepada syarikat yang terlibat dalam perjanjian tersebut. – 28 November, 2019.

Iklan
Iklan