Draf RUU suruhanjaya keharmonian siap awal tahun depan, kata Hanipa
Iklan
DRAF rang undang-undang bagi suruhanjaya keharmonian dan rekonsialisasi dijangka siap awal tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin.
Suruhanjaya yang ketika ini diberi nama Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi Nasional pertama kali dicadangkan oleh Majlis Perundingan Perpaduan Nasional yang ditubuhkan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini sedang mengumpul maklum balas dari pihak berkepentingan dan juga mengkaji pengalaman negara lain yang mempunyai jawatankuasa serupa, kata Hanipa pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
“Kita sedang mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan dan mendraf rang undang-undang. Kita berharapn ia akan siap awal tahun depan dan dibentangkan di Kabinet,” katanya ketika menjawab soalan dari Lim Lip Eng (PH-Kepong).
Menurut Hanipa, kerajaan juga perlu memastikan fungsi suruhanjaya tersebut tidak bercanggah dengan suruhanjaya lain seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Bagaimanapun, kerajaan tidak akan memperkenalkan mana-mana undang-undang baharu bagi menangani ucapan kebencian kerana peruntukan sedia ada di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia sudah mencukupi, tambah Hanipa.
“Kita mempunyai peruntukan yang cukup di bawah Kanun Keseksaan manakala beberapa peruntukan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia sangat tegas menangani ucapan kebencian. Dalam kes tertentu, Akta Komunikasi dan Multimedia dan membenarkan pesalah dijamin,” katanya. – 28 November, 2019.