Iklan

Azmin tiada 'locus standi' cabar status sulit laporan 1MDB

Amin Iskandar7 years ago26th Oct 2017Berita
Unnamed(1)
Menteri Besar Selangor dan Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali tidak mempunyai "locus standi" untuk mencabar status sulit laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB kerana tidak mempunyai kepentingan langsung dalam skandal tersebut, kata Peguam Kerajaan Suzana Atan. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2017.
Iklan

MAHKAMAH diberitahu hari ini, Menteri Besar Selangor dan Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali tidak mempunyai “locus standi” untuk mencabar status sulit laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Kerajaan Suzana Atan berkata, ini kerana Azmin tidak mempunyai kepentingan secara langsung dalam kes tersebut.

“Lagi pun, laporan tersebut disediakan khusus untuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya merujuk kepada jawatankuasa yang ditubuhkan Parlimen itu.

Suzana berkata, Laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB itu diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana dokumen itu disediakan secara eksklusif untuk PAC yang menyiasat skandal kewangan dalam syarikat pelaburan negara itu.

Katanya, PAC sudah menyerahkan penemuan mereka kepada Parlimen tetapi membuat keputusan untuk tidak melampirkan laporan itu kepada Dewan Rakyat tahun lalu.

“Ketua Audit Negara tidak menyerahkan laporannya kepada Parlimen tetapi hanya kepada PAC,” katanya dan menambah dokumen tersebut adalah dikecualikan dan tidak melanggar Artikel 107 Perlembagaan Persekutuan.

Suzana berkata, Laporan Ketua Audit Negara itu terpaksa diletakkan status sulit kerana laporan awal yang dibentangkan kepada PAC pada Julai 2015 sudah dibocorkan kepada umum.

Peguam Azmin, Tommy Thomas berkata Artikel 107 menyatakan ketua audit negara hendaklah mengemukakan laporannya kepada Yang Di Pertuan Agong yang hendaklah menyebabkan laporan itu dibentangkan di dalam Dewan Rakyat.

“Kesemua 222 anggota Dewan Rakyat mempunyai hak Perlembagaan untuk mendapatkan laporan itu apabila PAC membentangkan penemuan mereka berkenaan dengan 1MDB,” katanya.

Katanya, Azmin mempunyai “locus standi” untuk mencabar status sulit laporan tersebut kerana Yang Di Pertua Dewan Rakyat tidak membenarkan laporan itu menjadi pengetahuan umum.

“Ahli-ahli Parlimen tidak akan mempunyai kebebasan berekspresi dalam Dewan Rakyat sekiranya mereka tidak dapat membaca laporan itu,” katanya.

Thomas berkata, laporan itu seharusnya tidak berstatus sulit kerana laman pendedah maklumat Sarawak Report sudah menjadikan laporan itu boleh diakses orang awam di seluruh dunia.

“Tambahan pula Perdana Menteri Najib Razak sudah berjanji untuk membuang status sulit laporan itu selepas PAC melengkapkan penemuan mereka,” katanya.

Azmin mencabar keputusan ketua audit negara yang mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara berhubung 1MDB sebagai rahsia rasmi.

Dalam permohonan itu Azmin menuntut suatu deklarasi bahawa tindakan responden pertama iaitu perdana menteri yang mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah suatu tindakan dalam konflik kepentingan.

Beliau juga menuntut deklarasi bahawa klasifikasi laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi oleh responden kedua Ambrin Buang adalah menyalahi undang-undang dan ultra vires Perlembagaan Persekutuan, OSA (Akta Rahsia Rasmi) dan/atau Akta Audit 1957.

Hakim Kamaludin Md Said akan membuat keputusan kes pada 5 Disember, 2017. – 26 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan