Najib istiqamah, Dr Mahathir merajuk keluar parti, kata Annuar
Iklan
KETUA Penerangan Umno Annuar Musa berkata Perdana Menteri Najib Razak istiqamah orangnya, bukan seperti Dr Mahathir Mohamad yang merajuk sehingga meninggalkan parti.
Bercakap pada satu forum di Parlimen hari ini, Annuar berkata itu sebabnya, beliau yakin dengan kepimpinan Najib, walaupun beliau terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Membandingkan Najib dan Dr Mahathir, bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat itu, Annuar berkata Najib tidak membuat sesuatu demi kepentingan agendanya.
“Ini keistimewaan Najib. Tapi apa yang pentingnya, saya sokong Najib. Pertama kerana dia pertahankan parti dan dia tidak melawan parti berbanding Dr Mahathir, kerana dia ada agenda peribadi. Dia sanggup buat apa saja, sanggup tinggalkan parti, dia sanggup keluar parti.
“Nak tunjukkan dia merajuk, dia tinggalkan parti. Jadi, kalau kita buat macam itu, seperti sebuah kapal kalau kita bergaduh dan meninggalkan kapal, siapa yang jaga kapal itu?,” katanya pada forum “Anda Tanya Saya Jawab…” di Bangunan Utama Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.
Mengimbas ketika berada pada era pentadbiran Dr Mahathir, Annuar yang aktif berkecimpung dalam Umno sejak 1979 itu mengakui jasa dan budi Dr Mahathir terhadapnya begitu besar.
“Jasa dan budi Dr Mahathir pada saya begitu besar. Saya budak kampung biasa saja dan ahli keluarga saya tak ada yang terlibat dengan politik.
“Saya hanya pemimpin pelajar tetapi dengan takdir Allah dan Dr Mahathir bagi peluang saya jadi menteri.
“Tapi itu soal jasa, tapi dalam politik jasa harus kita kenang tetapi ada perkara lain yang lebih besar, lebih penting,” katanya.
Dr Mahathir, perdana menteri keempat mentadbir negara sejak 1981 hingga 2003. Beliau kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) .
Annuar berkata beliau pernah menjadi peminat Dr Mahathir namun tidak menyokongnya lagi kerana merasakan seseorang itu menjadi hebat kerana partinya dan bukan individu tersebut.
“Jadi, bila tanya saya kenapa sekarang ini saya sokong Najib, pada saya perkara mudah. Pada saya, dalam politik, kita kena bezakan antara individu dengan kepentingan orang ramai. Dan juga soal individu dengan parti.
“Kalau nak ikutkan sebelum saya jadi orang Tun (Dr Mahathir), saya orang Tengku Razaleigh tetapi bila beliau kalah bertanding dengan Tun, dia nak buka parti lain dan sebagainya, saya tak boleh ikut. Seseorang itu menjadi hebat kerana partinya bukan individu,” katanya.
Annuar berkata Najib pemimpin yang mempunyai kualiti cukup istimewa.
“Dia tak suka kacau orang. Dalam sejarah politik dia, dia tak suka lawan orang. Dia dapat jawatan ikut merit dia sendiri dan dia seorang yang sangat sabar,” katanya.
Dr Mahathir mengumumkan keluar dari parti Melayu terbesar itu tahun lalu selepas tidak puas hati dengan pentadbiran Najib.
Bekas presiden Umno itu sebelum ini keluar Umno pada 19 Mei, 2008 selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan perdana menteri kelima, Abdullah Ahmad Badawi ketika itu. – 26 Oktober, 2017.