Iklan

Turun kos sara hidup dan perniagaan untuk Bajet 2018, kata pekerja, kesatuan 

Sharon Tan7 years ago26th Oct 2017Berita
Pekerjaan
Kumpulan industri juga mahukan lebih banyak insentif dan bantuan untuk mengambil peluang terhadap teknologi bagi mencapai revolusi industri keempat. – Gambar EPA, 26 Oktober, 2017.
Iklan

MENURUNKAN kos sara hidup dan perniagaan merupakan dua perkara yang menjadi pilihan utama dalam senarai harapan pada Bajet 2018 bagi kumpulan industri dan kesatuan.

Kumpulan industri juga mahukan lebih banyak insentif dan bantuan untuk mengambil peluang terhadap teknologi dalam “revolusi industri keempat’ untuk meningkatkan produktiviti dan lebih kompetitif. 

Dua kumpulan terbesar itu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) turut berpandangan sama dengan kesatuan sektor awam, Cuepacs bagi menguatkan kuasa membeli di tangan pengguna.

“Kerajaan perlu mengambil berat dengan kos yang tinggi dalam perniagaan. Peningkatan kos sara hidup juga perlu diberi perhatian secepat mungkin,” kata MEF kepada The Malaysian Insight.

FMM berkata, kedua-dua cukai korporat dan individu perlu dikurangkan untuk negara menjadi lebih kompetitif. Kadar cukai korporat Malaysia kini berada pada 24% berbanding Thailand 20% dan Singapura 18%.

“Kami berharap kerajaan akan membuat penstrukturan semula cukai pendapatan individu supaya tidak mencecah kadar yang tinggi dengan lebih cepat,” kata FMM dalam satu kenyataan. 

Sementara itu, Cuepacs meminta dua kenaikan gaji dalam setahun untuk mengimbangi peningkatan kos sara hidup. 

Setiausaha Agung Cuepacs Adnan Mat memberitahu The Malaysian Insight, kenaikan itu perlu dibuat pada Januari dan Julai. 

“Kerajaan juga perlu mengawal harga barangan kerana kos sara hidup semakin meningkat. Gaji kami hanya naik pada kadar 3% hingga 5% sahaja tetapi harga barangan makanan meningkat antara 8% hingga 12%,” kata Adnan. 

Elaun sara hidup (Cola) juga perlu diselaraskan pada RM300 kepada semua penjawat awam, manakala elaun perumahan perlu dinaikkan kepada RM450 dari RM300 untuk mereka berpendapatan pada skala rendah. 

Peningkatan kos perniagaan 

Bagi MEF, peningkatan kos untuk menjalankan perniagaan masih menjadi kebimbangan utama pekerja sektor swasta. 

“Isu termasuk kos yang tinggi untuk menggaji pekerja warga asing, cadangan Skim Insurans Pekerjaan, peningkatan produktiviti, dan dasar pembangunan dan pengurusan sumber manusia,” kata MEF. 

Ia juga mahu kerajaan membatalkan Pelan Konsisten Buruh  yang merupakan sebahagian daripada perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang kini tidak berfungsi.

Pelan itu dibuat bagi mengubah dan meningkatkan perundangan buruh tempatan untuk membolehkan ia memenuhi standard TPPA

MEF juga berharap Bajet 2018 akan membantu mengurangkan tekanan perundangan dan kewangan untuk syarikat meningkatkan operasi mereka dan melabur lebih banyak dalam latihan.

Penaiktarafan ini kata MEF, akan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing. Sebagai contoh, perlu ada insentif cukai yang lebih baik kepada syarikat yang mahu automasikan operasi mereka. 

Transformasi perkilangan

Harapan paling utama FMM pada pembentangan bajet kali ini adalah dana transformasi RM1 bilion di bawah Pelan Hala Tuju negara untuk Industri 4.0 bagi mengembangkan inovasi dan produktiviti.

FMM juga berharap lebih banyak Pusat Industri 4.0 serta sokongan kepada syarikat tempatan yang terlibat dalam robotik.

“Kerajaan perlu menyokong R&D dengan memperluas potongan dua kali automatik kepada semua syarikat. Ia boleh memperkenalkan skim baucer R&D untuk menggalakkan dan menyokong inovasi SME, “kata FMM.

FMM turut menghantar senarai yang perlu diberikan perhatian iaitu:

*Kaji semula amalan mengimbas semua kontena barangan import di Pelabuhan Pulau Pinang kerana ia menyebabkan kesesakan.

Jabatan Kastam bagaimanapun mendakwa aktiviti itu berjaya menumpaskan lebih 6,000 cubaan menyeludup dan lari dari cukai, serta rampasan barangan terlarang bernilai RM425 juta. 

*Mengembalikan struktur bayaran asal Sistem e-Tariff MIDA. Bayaran itu dinaikkan hingga 189% dari RM110 pada April 2016 kepada RM318 pada Mac lalu. 

*Memperketatkan penguatkuasaan terhadap perdagangan haram.

*Meningkatkan bayaran modal berbayar untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada RM10 juta. 

*Menyelaraskan definisi IKS dengan negara Asia Pasifik lain. 

*Penglibatan yang lebih baik dengan persatuan industri ketika membuat dasar.

*Mengurangkan pelaburan oleh syarikat berkaitan kerajaan yang mengetengahkan pemain swasta. – 26 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan