Hari media Malaysia dibungkam
Iklan
TANGGAL 27 Oktober ini genap 30 tahun Operasi Lalang. Pada tarikh itu tiga dekad yang lalu 106 orang ditahan tanpa bicara manakala lesen penerbitan tiga buah akhbar ditarik balik. Episod itu kekal jadi peringatan tentang apa yang boleh berlaku sekiranya tidak ada sistem semak dan imbang. Episod itu meninggalkan parut yang dalam pada jiwa Malaysia. Sebagai mengenang hari itu, The Malaysian Insight menemu bual mereka yang terlibat — tahanan dan ahli keluarga, warden pusat tahanan dan polis.
28 OKTOBER 1987, hari kedua Operasi Lalang, tiga akhbar — The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan — disekat.
Tunku Abdul Rahman, yang ketika itu pengerusi The Star, berkata negara ini “menuju ke arah kediktatoran”.
Penangkapan beramai-ramai ahli politik dan aktivis sehari sebelumnya bukanlah sesuatu di luar jangkaan, tetapi apabila akhbar seperti Watan ditutup, yang pada ketika itu kecil jumlah edarannya sungguh memeranjatkan ramai orang.
“Tiada siapa sangka,” kata K. Nada, Pengarang Urusan The Star pada masa itu, mengenang hari beliau menerima surat mengatakan akhbar itu ditutup.
Menurut Kertas Putih yang dikeluarkan oleh kerajaan, Operasi Lalang dijalankan kerana pelbagai kumpulan mengambil kesempatan atas sikap kerajaan yang “liberal” dan “bertolak-ansur” untuk memainkan “isu-isu sensitif” yang meningkatkan ketegangan kaum.
Namun Nada percaya penutupan akhbar itu adalah “kemuncak kemarahan” kerajaan terhadap liputan The Star berhubung beberapa isu kontroversi pada masa itu, termasuk perpecahan dalaman Umno.
Selepas The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan mendapat semula lesen penerbitannya pada 22 Mac 1988, Akta Mesin Cetak dan Percetakan dipinda untuk menyekat tindakan menteri dalam negeri menarik balik lesen itu daripada dicabar di mahkamah.
Satu jenayah baru diperkenalkan iaitu “menerbitkan berita palsu dengan niat jahat” yang membawa hukuman penjara tiga tahun dan/atau denda.
Akta itu kemudiannya dipinda pada 2012 untuk memansuhkan peruntukan memperbaharui lesen percetakan setiap tahun, sementara budi bicara mutlak kerajaan berhubung permit digantikan dengan semakan kehakiman.
Namun bayang-bayang resah terus menyelubungi dunia persuratkhabaran, tiga dekad selepas Operasi Lalang.
Sejumlah 106 orang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan hampir separuh daripadanya ditahan lanjut di bawah perintah tahanan dua tahun di Kem Tahanan Kamunting.
Walaupun tiada wartawan yang ditahan di bawah ISA pada masa itu, penutupan akhbar tersebut membenihkan rasa takut yang kemudian membawa kepada tindakan menyekat diri sendiri.
Berikut adalah wawancara bersama K. Nada tentang suasana yang membawa kepada penutupan akhbar dan hari-hari selepas itu.
TMI: Apakah ada apa-apa petanda akhbar itu akan disekat?
Nada: Tiada siapa sangka. Saya baca surat itu apabila ia sampai di meja berita. Suratnya sangat pendek. Hanya satu ayat: anda ditutup atas alasan keselamatan negara; tidak sampai 25 perkataan.
Saya panggil semua wartawan dan beritahu mereka kita sudah ditutup. Saya tidak ingat apakah pada masa itu ada bos di pejabat. Tiada sesiapa yang memanggil petugas mereka untuk memberikan sebarang alasan. Kali pertama saya nampak bos semua ialah apabila mereka beritahu gaji kami akan dipotong separuh. Masa itu sudah dekat waktu makan tengah hari. Saya suruh semua orang balik.
TMI: Adakah berita itu diterima dengan tenang?
Nada: Ada yang menangis.
Kami datang kerja esoknya, macam biasa. Kami masih dapat gaji penuh. Apabila mereka (pihak pengurusan) sedar yang kami tidak akan dibuka semula pada waktu terdekat, gaji dibayar separuh dan kemudian suku.
Pada mulanya, kami ingat sebulan; kemudian kami fikir akan buka semula sebelum Krismas, sebagai hadiah; selepas itu, Tahun Baru Cina.
TMI: Adakah sebab liputan berita yang dibuat?
Nada: Kami melaporkan dengan menyeluruh skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF). Hanya kami yang menghantar wartawan ke Hong Kog. Kami siarkan kenyataan Lim Kit Siang mengenai Lebuhraya Utara Selatan di muka depan.
Kami seimbang. Itulah masanya Neo Yee Pan melawan Tan Koon Swan (dari MCA). Apabila Koon Swan kata sesuatu, kami letak di muka depan.
Esoknya, Yee Pan akan jawab, kami letak juga di muka depan. Kami tidak memihak.
Kami juga adil dalam membuat liputan tentang Team A dan Team B (dalam Umno). Tengku Razaleigh, Musa Hitam, Dr Mahathir cakap sesuatu, kami lapor. Tetapi kami berbeza daripada yang lain kerana tidak ada akhbar yang melaporkan tentang Team B.
Bulan pertama selepas ditutup, macam pesta. Orang main games, seperti Risk (permainan papan) dan catur. Ironinya, kami tidak tahu berapa hari akhbar akan ditutup dan kami bermain Risk setiap hari.
Itulah hari-harinya ketika kami ingat sebulan, kemudian paling lama pun tiga bulan
Tetapi selepas Tahun Baru, orang mula berpindah… ke Hong Kong, Australia. – 27 Oktober, 2017.