Iklan

Bajet Alternatif Pakatan baik tapi sukar dilaksanakan, kata MTEM

Amin Iskandar7 years ago27th Oct 2017Berita
Budget 2018 pakatan harapan tmikamal 02
Bajet Alternatif Pakatan Harapan yang antara lain mahu menghapuskan tol, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta mengembalikan subsidi minyak disifatkan sebagai “satu idea yang baik namun sukar untuk dilaksanakan”, kata Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM). Walaupun begitu, menurut CEO MTEM Ahma Yazid Othman, keseluruhan bajet itu memberikan harapan kepada rakyat tetapi perlu diteliti lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2017.
Iklan

BAJET Alternatif Pakatan Harapan (PH) yang antara lain mahu menghapuskan tol, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta mengembalikan subsidi minyak disifatkan sebagai “satu idea yang baik namun sukar untuk dilaksanakan”, kata Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Ahmad Yazid Othman berkata, secara keseluruhannya, Bajet PH memberi harapan kepada rakyat namun, idea mereka itu perlu diteliti dari segi pelaksanaan demi kesejahteraan segenap rakyat Malaysia.

“Secara khususnya pentadbiran negara memerlukan kos yang tinggi dan dengan hanya mengharapkan penjimatan RM20 bilion melalui penghapusan rasuah, secara jelas dilihat sukar untuk dilaksanakan kerana untuk menghapuskan rasuah itu sendiri memerlukan kos pentadbiran yang agak mencabar malah hasil penjimatan pula tidak dapat dikenal pasti secara jelas,” katanya lagi.

“MTEM menyokong cadangan untuk mengenakan cukai yang lebih tinggi kepada golongan 10 peratus terkaya (T10) — sekitar 690 ribu isi rumah — serta cadangan cukai tambahan 10 peratus bagi cukai warisan kerana ia selari dengan cadangan MTEM sebelum ini dalam usaha untuk mengatasi isu ketaksamaan,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

“MTEM sebelum ini pernah menyuarakan saranan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dalam bajet kali ini. “

Dua hari lalu PH mencadangkan Bajet Alternatif 2018 yang menyediakan peruntukan lebih tinggi untuk pembangunan serta defisit lebih kecil berbanding Bajet 2017 yang dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN).

Dalam cadangan bajet alternatif itu, PH bercadang menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menamatkan tol lebuh raya dan menjimatkan sehingga RM20 bilion dengan mengurangkan ketirisan dan menghapuskan penyelewengan.

Yazid berkata, MTEM menyokong penekanan PH bagi sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kerana dengan adanya peruntukan khas seperti yang disyorkan mereka sebelum ini bakal memberi keberkesanan kepada sistem TVET selain membantu belia yang sedang melangkah ke alam pekerjaan.

“MTEM teruja PH mengiktiraf masalah pesawah padi melalui cadangan untuk mengembalikan semula fungsi Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) selari dengan tuntutan MTEM.

“Kami menyambut baik keinginan PH dalam melaksanakan stok simpanan (stockpile) nasional kerana ia mengambarkan keprihatinan dalam jaminan pemakanan negara,” katanya.

Yazid berkata, dari segi pelaburan asing, MTEM menyokong idea perkongsian pengetahuan dan pegangan ekuiti  bersama untuk kepentingan negara yang strategik.

“MTEM percaya ia mempunyai manfaat kepada negara dan kawasan di mana projek itu bakal dijalankan.

“Justeru, MTEM percaya kerajaan sedia ada mempunyai data untuk mewajarkan kos projek dan usahasama dengan China tetapi kami berharap agar kerajaan mengambil idea daripada Bajet PH sebagai penambahbaik yang berfaedah,” katanya.

Yazid berkata, MTEM turut menyokong cadangan PH memupuk keusahawanan dalam kalangan kaum Bumiputera terutamanya dengan memberi sokongan kepada kontraktor kelas F.

“Pembangunan rantaian bekalan, membasmi budaya ali baba, diskriminasi dalam sektor swasta dan kawalan kartel dalam sektor tertentu bakal memperkasakan agenda Bumiputera selain pembangunan modal insan dan pemilikan ekuiti/kekayaan Bumiputera juga perlu diberi perhatian,” katanya.

MTEM juga beranggapan cadangan PH supaya kaum Bumiputera dari golongan M40 dan B40 diajar untuk menabung dilihat bersifat perkauman kerana kaum Cina dan India juga berada dalam golongan ini.

“Secara realitinya, mereka ini tidak mampu untuk menabung mahupun melabur memandangkan untuk menyara kehidupan seharian juga tidak mencukupi.

“Gaji merupakan faktor utama yang perlu diberi perhatian dalam bajet kali ini, memandangkan hampir 63 peratus isi rumah berpendapatan rendah dan terdiri daripada golongan M40 dan B40,” katanya. – 27 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan