Wee cabar Guan Eng berdebat
Iklan
PRESIDEN MCA Wee Ka Siong mencabar Lim Guan Eng berhubung kenyataannya bahawa kerajaan hanya akan salur dana kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Kolej Utar) sekiranya MCA melepaskan kawalan ke atas institusi itu.
Wee berkata beliau mahu berdebat dengan menteri kewangan berhubung keputusan Putrajaya untuk menyekat dana RM30 juta kepada Kolej Utar.
“Selagi saya bergelar presiden MCA, saya akan kekal berdiri mempertahankan Kolej Utar daripada mana-mana pihak yang cuba memusnahkannya. Saya yakin ahli-ahli MCA dan komuniti Cina juga akan bersama-sama mempertahankan institusi ini,” katanya ketika berucap pada mesyuarat agung tahunan MCA di ibu pejabat parti itu di ibu negara hari ini.
Bulan lalu, Lim berkata terdapat perancancangan untuk Persatuan Alumni Tunku Abdul Rahman (TAA) menguruskan wang kepada Kolej Utar menerusi tabung amanah.
Beliau berkata, ia mencadangkan TAA menubuhkan satu tabung amanah secepat mungkin, dengan pemegang amanah TAA adalah dari kalangan pelajar dan wakil Kementerian Kewangan.
“Tabung Amanah ini akan menguruskan dana setiap tahun tanpa penglibatan kerajaan atau parti politik, sama ada MCA mahupun PH.”
RM30 juta untuk 2019 akan dibayar kepada tabung amanah sebaik ia diwujudkan dan RM30 juta lagi akan dibayar tahun seterusnya.
Wee juga berkata, bahawa Lim, bapanya yang juga penasihat DAP Lim Kit Siang atau parti mereka tidak pernah mendermakan satu sen pun kepada Kolej Utar.
Beliau turut memberi amaran kepada mereka agar tidak mencampuri hal ehwal institusi berkenaan.
Lim sebelum ini berkata dana daripada tabung amanah masih boleh diagihkan kepada Kolej Utar namun tertakluk kepada syarat kepimpinan MCA perlu melepaskan kawalan pemilikan, pentadbiran lembaga tadbir urus dan pemegang amanah Kolej Utar.
Tambahnya, menjadi amalan seluruh dunia untuk tidak memberikan dana awam kepada entiti yang dikawal parti politik bagi mengelakkan rasuah, salah guna kuasa dan konflik kepentingan.
Dana Kolej Utar merupakan isu sensitif kepada masyarakat Cina kerana institusi berusia 50 tahun itu ditubuhkan oleh MCA menyediakan biasiswa kepada ramai pelajar Cina yang miskin. – 1 Disember, 2019.